MB: Pengundi mampu menilai isu dengan matang
JERAI, JUMAAT, 01 Novomber, 2013: Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir percaya pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau tidak akan terpengaruh dengan tindakan terdesak pembangkang memainkan pelbagai isu remeh-temeh bagi menarik sokongan pada pilihan raya kecil kawasan itu Isnin ini.
Beliau berkata, pembangkang seolah-olah memperlekehkan kebijaksanaan pengundi apabila menggunakan taktik seumpama itu dan yakin mereka akan membuat pertimbangan rasional dengan memikirkan masa depan keluarga masing-masing.
"Pengundi Sungai Limau ini cukup matang dan faham walaupun tahap emosi tidak begitu memuncak dalam pilihan raya kecil kali ini tetapi pendekatan untuk menimbulkan isu remeh temeh ini kadang- kadang ada kesan atau sebaliknya.
"Saya yakin pada hari pengundian nanti pengundi Sungai Limau akan membuat pertimbangan rasional dengan memikirkan masa depan anak cucu mereka dan tidak terpegaruh dengan perkara remeh-temeh yang ditimbulkan oleh pihak lawan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program latihan kemahiran automotif di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN), di sini hari ini.
Menteri Besar mengulas mengenai tindakan pembangkang yang membangkitkan isu remeh-temeh termasuk mempersoalkan jumlah gambar beliau hampir sama banyak dengan gambar calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim dalam Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau.
Mengenai jangkaan Pas kononnya mereka mampu menang dalam PRK itu dengan minimum majoriti 500 undi, Mukhriz berkata, beliau tidak tahu bagaimana parti berkenaan boleh membuat jangkaan seperti itu kerana ia merupakan perkara yang sukar diramal.
Tegas beliau, BN juga yakin untuk menang tetapi berteraskan kepada usaha gigih seluruh jentera parti berkenaan.
Dalam pada itu, ditanya apakah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) memberi kesan kepada BN pada PRK Dun Sungai Limau, Pengerusi BN Kedah itu berkata, itu hanya akan berlaku apabila ia mengelirukan rakyat kerana sistem cukai itu merupakan satu perkara yang sangat kompleks. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment