Pengundi perlu beri sokongan kepada BN
JERAI, JUMAAT, 01 November, 2013: Pengundi-pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau tidak perlu mengundi calon Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Isnin ini kerana tiada lagi Menteri Besar dari kawasan itu yang perlu mereka pertahankan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, tempat Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar Kedah telah digantikan oleh Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir selepas Barisan Nasional (BN) berjaya menawan negeri Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
"Tidak ada lagi Menteri Besar dari kawasan Sungai Limau yang perlu pengundi pertahankan. Mukhriz daripada BN, maka disebabkan itu mereka perlu mengundi calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim.
"Dr. Ahmad Sohaimi perlu menang pada PRK DUN Sungai Limau nanti kerana hanya beliau yang boleh membawa perubahan kepada penduduk di kawasan ini dengan bantuan Mukhriz dan juga Kerajaan Pusat," katanya ketika ditemui selepas beramah mesra dengan peniaga-peniaga di pasar pagi Bukit Besar di sini, hari ini.
Yang turut serta beramah mesra dengan peniaga-peniaga di pasar pagi Bukit Besar itu ialah jentera Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO serta Naib Ketua Puteri, Zahida Zarik Khan dan Naib Ketua Pemuda, Khairul Azwan Harun.
Menurut Ahmad, sepanjang lebih 10 kali berulang-alik ke Sungai Limau sejak kematian Allahyarham Azizan, peralihan sokongan pengundi DUN Sungai Limau kepada BN semakin ketara.
"Dalam hari-hari terakhir kita berkempen ini saya nampak pengundi makin sedar, mereka mula ada terfikir untuk berubah ke arah pembangunan yang bakal dibawa oleh BN.
"Dulu pengundi telah memberikan kemenangan kepada Pas selama lima penggal namun tidak ada apa kebaikan diberi kepada mereka, sebab itu mereka perlu memberi peluang kepada BN pada PRK kali ini," jelasnya.
Tambahnya, sepanjang berkempen jentera-jentera BN juga telah menjelaskan lima sebab yang menyebabkan pengundi-pengundi perlu mengundi BN pada PRK kali ini dan pengundi menerima penjelasan tersebut.
"Lima sebab itu ialah BN ada calon yang baik, Ahli Parlimen yang baik, seorang Menteri Besar yang baik, ada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang baik dan dasar-dasar kerajaan yang baik untuk rakyat.
"Lima sebab ini mula diterima dan difahami pengundi kerana mereka mula nampak kebaikan yang ingin ditawarkan kepada mereka di sini," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment