11 defendan lain tuntut RM128.5j
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 November, 2013: Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuf hari ini memfailkan saman terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan 11 yang lain untuk menuntut ganti rugi berjumlah RM128.5 juta atas dakwaan melakukan pendakwaan salah dan berat sebelah terhadapnya.
Ramli, 61, selaku pihak plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui firma guaman, Tetuan Vin Partnership di Mahkamah Tinggi di sini.
Dalam pernyataan tuntutan setebal 34 muka surat, Ramli menyatakan Abdul Gani mempunyai budi bicara untuk memulakan, mengendalikan dan memberhentikan sebarang prosiding undang-undang serta mempunyai kawalan ke atas kesemua pegawai bawahannya.
Selain Abdul Gani, Ramli menamakan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Datuk Nordin Hassan; dan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anthony Kevin Morais sebagai defendan pertama hingga defendan keempat.
Yang turut disaman ialah Deputi Supritendan (DSP) Chew Kam Soon; Ketua Unit Siasatan SPRM, E. Sok One; tiga Pegawai Penyiasat SPRM iaitu, Saiful Ezral Ariffin, Azmi Ismail, Wan Abdul Rahman, SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan kelima hingga ke-12.
Ramli menyifatkan pendakwaan terhadapnya antara 2006 dan 2007 oleh pihak defendan, berniat jahat dan tanpa sebab munasabah mendakwa beliau atas beberapa pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini dan Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah.
Akibatnya, dakwa Ramli, reputasi, watak dan kerjayanya telah terjejas dan mengalami kerugian serta kerosakan.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas RM1.5 juta, ganti rugi am yang tidak dinyatakan jumlah, ganti rugi punitif RM50 juta, ganti rugi teruk RM50 juta dan ganti rugi RM27 juta serta memohon beberapa perintah lain.
Ramli sebelum ini pernah didakwa dan dibicarakan atas empat pertuduhan termasuk rasuah dan salah guna kuasa sewaktu memegang jawatan tersebut.
Bagaimanapun, pada 12 Mac 2010, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskannya daripada tiga pertuduhan gagal mengisytiharkan kepentingannya dalam dua hartanah bernilai lebih RM1 juta dan pemilikan saham.
Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 27 Julai tahun sama turut melepas dan membebaskan Ramli daripada tuduhan menyalah guna kuasanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment