My Add

Saturday, 2 November 2013

Beri peluang BN Kedah bangunkan Sungai Limau - Perkasa

JERAI, JUMAAT, 01 November, 2013: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau digesa memberi peluang kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir membangunkan DUN itu dengan memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN), Dr. Ahmad Sohaimi Lazim dalam pilihan raya kecil kawasan itu, Isnin ini.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah itu penting dalam usaha memastikan Mukhriz mampu membawa kemajuan di kawasan tersebut demi kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan, pengundi di Sungai Limau supaya tidak terpedaya dengan mainan politik Pas - sebuah parti yang dilihat semakin hilang arah dalam perjuangan Islamnya kerana 'menyerah jiwa raga politik' kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

''Suatu ketika rakyat Kedah hanya kenyang dengan retorik politik Pas, mereka tidak mendapat apa-apa pun sama seperti rakyat Kelantan bagaikan menang sorak kampung tergadai. Masa berlalu dengan cepat dan pantas, orang Melayu terus berpecah belah dan DAP bertepuk tangan.

''Oleh itu, pengundi Melayu di Sungai Limau wajib tampil membantu membetulkan situasi buruk ini demi survival dan kemajuan umat Islam dengan memberi sokongan dan undi kepada calon BN," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan ahli Perkasa, di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan mengundi Pas tidak membawa apa-apa faedah kecuali meneruskan tradisi perpecahan sesama umat Islam.

''Wajarlah dimulakan perpaduan umat Islam di Sungai Limau dan sama-sama berusaha membangun ke arah kehidupan yang lebih maju dan harmoni atas semangat silaturahim," katanya.

Ibrahim berharap pengundi Sungai Limau akan memberi peluang kepada Mukhriz dan kemenangan BN akan memberi rangsangan kepada Menteri Besar Kedah itu bekerja keras untuk kesinambungan pembangunan Kedah keseluruhannya.

''Mukhriz adalah pemimpin yang dilihat tidak gelojoh, berpendidikan, tidak ego dan ada kewibawaan serta mewarisi disiplin Dr. Mahathir," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment