DAP disaran tukar nama kepada FAP
BATU PAHAT, JUMAAT, 01 November, 2013: DAP disaran menukar nama kepada Family Action Party (FAP) kerana didakwa gagal menjalankan pemilihan secara telus selain melakukan penyelewengan dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti berkenaan baru-baru ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi turut mendakwa, parti itu telah dimanipulasi oleh individu tertentu semasa pemilihan yang diadakan serta tidak jujur terutama dalam dua pemilihan terakhir yang dilakukan.
Menurutnya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menggesa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menukar nama parti berkenaan kepada FAP yang lebih bermakna bagi pemimpinnya yang menjadikan DAP sebagai parti keluarga.
"Guan Eng menganggap DAP sebagai aset keluarganya dan bukan sebuah parti yang demokratik seperti yang dihebahkan di pentas politik atau portal propembangkang.
"Saya berani nyatakan yang parti itu memang aset keluarga Guan Eng kerana mereka tidak memberi peluang kepada muka baharu untuk memimpin dan bersuara demi kepentingan parti," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Puad berkata, Anwar juga perlu memperjelaskan desas-desus bahawa Guan Eng sebenarnya mahu ROS mengambil tindakan membatalkan parti berkenaan.
"Kita difahamkan oleh ahli DAP yang membuat tafsiran bahawa Guan Eng sengaja enggan mengikut perlembagaan parti dalam mengadakan pemilihan CEC baru-baru ini.
"Kita ingin bertanya kepada Anwar, apakah ini benar atau tidak? Sebabnya kita tidak mahu pihak ROS menjadi mangsa permainan politik Guan Eng," katanya.
Selain itu, katanya, pemilihan semula CEC DAP juga telah menimbulkan persoalan apabila 851 perwakilan hilang, ada 120 cawangan tambahan dan 450 perwakilan haram.
"Persoalan ini ditimbulkan oleh pengundi DAP kaum Cina sendiri dan mereka juga mengatakan lebih separuh perwakilan kaum Cina sebenarnya tidak menyokong Guan Eng dan Anwar perlu memberi penjelasan tentang perkara ini," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment