My Add

Saturday, 2 November 2013

Comango: MuslimUPRo persoal pendirian Majlis Peguam

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

PUTRAJAYA, JUMAAT, 01 November, 2013: Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) mempersoalkan pendirian Majlis Peguam dan badan-badan agama di negara ini yang menyokong usaha tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) pada sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva.

Ketua Delegasi MuslimUPRo ke Geneva, Azril Mohd. Amin berkata, adakah Majlis Peguam mendapat mandat daripada ahlinya yang sebahagian besar beragama Islam semasa menyokong dan menjadi sebahagian ahli Comango yang dilihat tidak mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

"Comango telah mengeluarkan laporan yang terkandung di dalamnya tuntutan perkara-perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan selain dilihat mampu menyemarakkan aktiviti homoseksual melalui sokongan kepada hak kebebasan agama dan amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Kita mengetahui kira-kira 40 peratus keahlian Majlis Peguam terdiri daripada peguam beragama Islam maka agak mustahil mereka mendapat mandat untuk menyokong LGBT," dakwanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita semasa sidang akhbar MuslimUPRo di sini hari ini.

Sidang akhbar itu turut disertai Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa.

Mengulas lanjut, Azril turut mendakwa, MuslimUPRo juga menuntut pendirian rasmi daripada badan-badan agama di Malaysia terutama Majlis Perundingan Malaysia bagi agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh da Taois (MCCBCHST).

Selain itu kata beliau, MuslimUPRo turut mahukan Persekutuan Kristian Malaysia dan Persatuan Buddha Muda Malaysia untuk mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung sokongan mereka terhadap usaha Comango yang mendesak negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengiktiraf LGBT.

"Adakah ini bermakna majoriti penganut agama Kristian dan Buddha di Malaysia mengiktiraf amalan homoseksual di dalam agama mereka?

"Jika ya, pendirian ini amat bertentangan dengan prinsip dan ajaran agama mereka yang turut tersasar daripada Rukunegara berhubung prinsip kepercayaan kepada Tuhan serta kesopanan dan kesusilaan

"Malah sebahagian anggota MCCBCHST yang menduduki jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama, Jabatan Perpaduan Nasional dan Intergrasi Nasional (JPNIN) bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat Malaysia mengapa mereka menyokong tuntutan yang dilarang oleh agama-agama mereka seperti terkandung di dalam laporan Comango," tegasnya.

Untuk rekod, MuslimUPRo terdiri daripada pertubuhan Islam utama termasuk Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela); Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM); Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat); Ikatan Muslimin Malaysia (Isma); Jati; Majlis Amal Islami Malaysia; Ikatan; Perkim; Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan Pembina.

NGO lain termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM); Permim; Perkid; Perkasa; Promuslim; Jamíyyah; Yayasan Nassar; Lembaga Kebajijkan Perempuan Islm Malaysia; Yayasan Basmi Kemiskinan; ISSI Malaysia; Gabungan Pulau Pinang; Pinta; Majlis Ittihad Ummah; Persatuan Ummah Cemerlang Malaysia; Khalifah Institute; Persatuan Nur Alamiyyah; Pertubuhan Anak Watan Malaysia; Sekretariat Ulama-Umara' (Umum) dan Kelab Peguam Muda Malaysia. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment