GST bukti pembangkang tidak sepakat - Mukhriz
Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA
JERAI, JUMAAT, 01 November, 2013: Para pemimpin pembangkang ternyata tidak sepakat berhubung cukai barangan dan perkhidmatan (GST) apabila mereka menjadikannya isu besar ketika berkempen di Sungai Limau tetapi di Kuala Lumpur pemimpin tertinggi mereka menyokong pelaksanaannya.
Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, pembangkang tidak sepatutnya menolak GST kerana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang mula mencadangkan perlaksanaannya di Parlimen pada 1993 ketika dia menjadi Menteri Kewangan.
"Ketika berkempen di Sungai Limau ini mereka begitu kritikal dengan GST tetapi komen-komen yang telah dikeluarkan oleh pemimpin mereka sendiri di Parlimen menyokong (pula) GST.
"Kita tahu GST kali pertama dicadangkan di Parlimen pada tahun 1993 oleh Menteri Kewangan pada ketika itu. Kita tahulah siapa menteri kewangan pada masa itu, jadi tak mungkinlah dia (Anwar) menolak GST pada hal dia yang mencadangkan GST.
"Jadi nampaknya walaupun mereka parti komponen dalam pakatan pembangkang (tetapi) wujud ketidaksepakatan berhubung isu GST ini," kata Menteri Besar itu.
Mukhriz bercaka kepada media selepas melancarkan Program Pentauliahan Pencapaian Terdahulu dan Sistem Latihan Dual Nasional bagi Zon Utara di Markas Barisan Nasional (BN) DUN Sungai Limau di sini hari ini.
Jelas Mukhriz, isu GST adalah kompleks dan memerlukan masa untuk diterangkan kepada rakyat.
"Itu sebabnya kerajaan mencadangkan hanya pada 1 April 2015. Maksudnya 17 bulan masa yang kita perlukan untuk menerangkan mengenai GST kepada rakyat.
"Kerja pembangkang mudah kerana mereka cuma perlu menimbulkan rasa buruk sangka terhadap satu sistem kutipan cukai yang sebenarnya diamalkan oleh lebih 190 negara di seluruh negara termasuk di ASEAN kecuali Malaysia dan Myanmar," kata beliau. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment