SPAD jalan operasi berterusan buru teksi tidak guna meter
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 November, 2013: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menjalankan operasi secara berterusan bagi membanteras kegiatan teksi yang tidak menggunakan meter.
Menurut Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, pihaknya memandang serius kesalahan itu yang bukan hanya menjejaskan imej negara malah membebankan rakyat terutama di kawasan segi tiga emas di ibu kota.
Menurut beliau, operasi khas itu akan dijalankan bersama-sama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kita menerima banyak aduan daripada orang ramai berhubung kegiatan ini termasuk di kawasan seperti di KLCC, Pavilion dan Bukit Bintang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai fasa pertama operasi itu yang melibatkan sebanyak 12 pegawai SPAD dengan 78 anggota serta tiga pegawai PDRM dengan 10 anggota di sini hari ini.
Sebanyak 20 pasukan dibentuk bagi membanteras kegiatan itu dengan 18 kes diterima iaitu 14 kes bagi kesalahan tidak menggunakan meter, tiga kes menetapkan tambang dan satu kes membabitkan lain-lain kesalahan.
Tambah Che Hasni, kesalahan tidak menggunakan meter boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 22, 23 dan 75 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang mana boleh membawa denda tidak kurang RM1,000 sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai menyalurkan aduan kepada SPAD sekiranya mendapati terdapat pemandu teksi tidak menggunakan meter dengan mengambil nama pemandu, nombor teksi dan tarikh kejadian.
Menurutnya, orang ramai juga digalakkan merakam video atau suara pemandu teksi tidak bertanggungjawab untuk memudahkan tindakan segera diambil.
"Sebarang aduan boleh dilaporkan dengan menghubungi talian hotline SPAD 1-800-88-7723 atau e-mel kepada aduan@spad.gov.my," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment