Wajar pertimbang undang-undang salah laku penjawat awam
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 November, 2013: Malaysia wajar mempertimbang dengan teliti cadangan mewujudkan undang-undang bagi memastikan penjawat awam yang melakukan salah laku membelakangkan kepentingan awam sehingga merugikan negara termasuk menjurus kepada perbuatan rasuah dikenakan tindakan.
Bekas Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC), Daniel Li berkata, cadangan itu yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini harus dipandang secara serius.
"Apabila SPRM sudah mengenal pasti isu yang perlu diambil perhatian terutama berkaitan salah laku penjawat awam, maka sudah tentu penguatkuasaan akan lebih efektif dengan wujudnya undang-undang sedemikian," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Cadangan itu sebelum ini dikemukakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang menyifatkannya perlu kerana skop Seksyen 23 Akta SPRM yang diguna pakai sekarang agak kecil.
Menurut Abu Kassim, undang-undang baharu itu juga wajar memandangkan Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan terdapat beberapa keputusan yang diambil pegawai kerajaan mengakibatkan kerugian kepada rakyat dan negara.
Dalam pada itu, Daniel turut mengambil contoh pelaksanaan di Hong Kong menerusi Common Law yang mana penjawat awam boleh didakwa di mahkamah walaupun tiada bukti kukuh terhadap salah laku membabitkan perbuatan rasuah dalam kalangan mereka.
"Melalui undang-undang yang aktif dikuatkuasakan sejak 15 tahun lalu itu juga, penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa atau melibatkan perbuatan rasuah membabitkan hubungan persaudaraan dengan penjawat awam boleh dikenakan tindakan," katanya.
Menurutnya, undang-undang berkenaan sehingga kini didapati amat berkesan bagi membendung perbuatan rasuah dan salah laku dalam kalangan penjawat awam di Hong Kong yang mana beberapa kes berjaya dibawa ke mahkamah dan pelaku menerima hukuman setimpal.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, masyarakat perlu memberi kerjasama kepada SPRM bagi memastikan gejala rasuah walaupun dalam aspek yang kecil dilaporkan segera untuk diambil tindakan.
"Dalam soal ini, SPRM boleh mempromosikan perkhidmatan kepada masyarakat secara lebih meluas supaya mereka memahami setiap perbuatan rasuah itu adalah sesuatu yang serius terutama apabila berlaku dalam sektor awam," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment