16 pegawai integriti peringkat antarabangsa terima tauliah
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 November, 2013: Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) hari ini mengiktiraf sebanyak 16 peserta dari pelbagai negara yang telah mengikuti Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) peringkat antarabangsa dalam bidang pencegahan rasuah dan berkaitan integriti.
Program CeIO julung kali dianjurkan MACA bagi peringkat antarabangsa ini bertujuan melahirkan pegawai integriti bertauliah selain membantu usaha mencegah rasuah di peringkat antarabangsa.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, beberapa negara telah dijemput untuk bersama-sama menimba pengalaman, kemahiran dan pengetahuan dalam pengurusan integriti di Malaysia.
"Kita juga telah memanggil pakar dari beberapa negara seperti Singapura, Amerika Syarikat dan Jerman untuk berkongsi pengalaman mereka bersama peserta yang majoritinya pelatih daripada badan pencegah rasuah.
"Antara peserta yang menyertai program ini datang dari selatan Sudan, Fiji, Brunei, Bhutan dan Papua New Guinea dan mereka kini diiktiraf sebagai pegawai bertauliah dalam bidang ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penutup Pegawai Integriti Bertauliah Antarabangsa di MACA hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah MACA, Datuk Abdul Wahab Abdul Aziz.
Beliau berkata, pihaknya berharap program selama 12 hari yang memakai modul yang sama di peringkat tempatan mampu memberi pendedahan dan impak yang besar kepada peserta terutama usaha mencegah rasuah baik dalam negara mahu pun di peringkat antarabangsa.
Jelasnya, antara isi kandungan modul tersebut termasuklah menekankan perihal integriti, pematuhan dan pelan formula integriti dalam membentuk kesedaran sesebuah agensi atau organisasi. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment