*MOHD. Amrul Yazid Anuar (kiri) melihat kakitangan TNB memotong bekalan elektrik salah sebuah premis snuker di Batu 11 Cheras, Kuala Lumpur, semalam. |
Sebelum ini, polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) hanya mencabut kotak meter dan fius dari premis sahaja tetapi pemilik yang berdegil melakukan penyambungan semula secara haram bekalan elektrik untuk meneruskan operasi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, beliau yakin tindakan tegas diambil pihaknya kali ini itu boleh membanteras terus kegiatan perjudian di situ yang berselindung di sebalik kafe siber daripada beroperasi semula selepas serbuan.
Kata beliau, operasi menerusi Op Cantas Khas/Op Dadu Mesin Perjudian (Pembanterasan) itu dijalankan oleh Pegawai Operasi dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Inspektor Mohd. Amrul Yazid Anuar bersama 12 anggota.
Tambahnya, lokasi operasi melibatkan sekitar Taman Pelangi, Semenyih, Semenyih Sentral dan Batu 11, Balakong.
"Kesemua premis ini sekurang-kurangnya dua atau tiga kali telah diserbu tetapi meneruskan operasi semula. Dalam operasi selama enam jam bermula pukul 10 pagi ini dengan dibantu TNB, sebanyak 20 buah premis telah diambil tindakan.
"Ketika serbuan ada antara premis berpura-pura tidak beroperasi dengan mengunci pintu dari luar tetapi apa yang menghairankan cermin pada pintu yang berkunci itu sejuk seolah-olah pendingin hawa dibuka di dalamnya," katanya di sini hari ini.
Tambah Ab. Rashid, pihaknya tidak berkompromi dengan premis yang melakukan aktiviti perjudian dan sentiasa melakukan rondaan, risikan dan serbuan khususnya yang berselindung di sebalik kafe siber dan pusat rekreasi snuker. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment