My Add

Friday, 30 August 2013

CAP bantah bina tiga insinerator

PULAU PINANG, KHAMIS, 29 Ogos, 2013: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) membantah cadangan kerajaan membina tiga insinerator berskala besar dengan kapasiti 1,000 tan sampah sehari bagi menguruskan jumlah sisa pepejal yang semakin meningkat di negara ini.

Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris berkata, pembinaannya berpotensi menjejaskan kesihatan awam, alam sekitar, ekonomi dan iklim.

Menurutnya, kerajaan berlengah-lengah dalam mengambil langkah mengurangkan penjanaan sisa melalui proses kitar semula yang masih rendah dan penyelesaian yang mahal dan kurang bijak dengan insinerator.

“Hanya tiga hingga lima peratus daripada 33,000 tan sisa pepejal sehari atau 12 juta tan metrik setahun di Semenanjung dikitar semula manakala selebihnya habis di tapak pelupusan.

“Ini adalah kadar kitar semula yang sangat mengecewakan dan pembaziran sumber-sumber berharga yang sebaliknya boleh dipulihkan untuk diguna semula," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini bercadang membina tiga insinerator baharu di di Taman Beringin, Kuala Lumpur; Bukit Payung, Johor dan Sungai Udang, Melaka.

Tambah S. M. Mohamed, Malaysia membina beberapa insinerator kecil di Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan Cameron Highlands namun ada yang tidak beroperasi biarpun telah siap setahun lalu.

Menurutnya, keadaan tersebut mungkin berpunca daripada sumber bahan api yang mahal dan meningkatkan kos operasi sehingga menimbulkan masalah kewangan kepada pengendali menyebabkannya terbengkalai.

“Pembinaan insinerator hanya akan membawa kepada peningkatan kos pengurusan sisa pepejal dan tidak akan menyelesaikan krisis sisa buangan di Malaysia.

“Kita harus bergerak ke arah sisa sifar yang merupakan pendekatan menyeluruh yang mendidik masyarakat mengenai pengurangan penggunaan, pemulihan sumber, pengkomposan, kitar semula dan memastikan produk dihasilkan untuk digunakan semula, dibaiki atau dikitar semula kembali ke alam semula jadi atau pasaran," katanya.

Malah, katanya, pengkomposan sering diabaikan dalam program pengurusan sisa pepejal perbandaran kita walaupun boleh dilakukan dalam skala yang sangat kecil dan berteknologi rendah serta boleh dijalankan di peringkat rumah atau kejiranan.

Sehubungan itu, jelasnya, CAP menggesa kerajaan Malaysia melabur dalam amalan sisa sifar dan melenyapkan semua idea-idea pembinaan insinerator. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment