My Add

Friday 30 August 2013

Veteran perang bunuh 16 komunis meninggal dunia

IPOH, KHAMIS, 29 Ogos, 2013: Bekas veteran perang Britain yang pernah berkhidmat dalam pasukan polis British di negara ini ketika menentang komunis suatu ketika dahulu, Arthur Albert Waters, 92, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kuantan, kira-kira pukul 6 petang semalam akibat serangan jantung.

Anak angkatnya, Ahmad Khalil Mohd. Yusoff, 56, berkata, mayat Waters yang pernah berjuang membunuh 16 komunis itu bagaimanapun sehingga lewat petang ini masih belum dapat dituntut.

Jelasnya, ia disebabkan pihak terlibat memerlukan pengesahan keislaman Waters termasuk daripada Pejabat Suruhanjaya British di Malaysia kerana ketiadaan waris terdekat.

“Bapa dan ibu saya, Mohd. Yusoff Ibrahim dan Aririah Omm pernah berkhidmat sebagai bekas pemandu peribadi dan tukang masak kepada Waters yang telah memeluk Islam dengan nama Anuar Waters Abdullah.

“Sewaktu saya lapan beradik masih kecil, kami pernah tinggal bersamanya dan beliau menjaga makan dan minum kami.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya adalah ketika kami adik-beradik melawat arwah sewaktu Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Jadi, saya ingin membalas budi beliau dengan memastikan arwah yang telah mendapat taraf penduduk tetap di sini dapat dikebumikan dengan cara Islam.

“Apa pun, masalah birokrasi ini (untuk menuntut mayat) hampir diselesaikan oleh pihak polis kerana beliau banyak berjasa kepada negara. Saya berharap jenazah dapat dikebumikan esok," katanya yang berada di Hospital Kuantan ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment