My Add

Friday 30 August 2013

Mangsa cubaan samun maut

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 Ogos, 2013: Hasrat dua lelaki untuk menyelamatkan seorang kakitangan wanita AirAsia X yang cuba disamun di depan mata bertukar tragedi selepas kenderaan diundur dengan laju untuk melanggar suspek terlanggar mangsa menyebabkannya meninggal dunia.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Shahrinawati Abu Bakar, 30, yang merupakan petugas lapangan dikatakan baru tiba di rumahnya di Kondominium Palm Villa Condo, Taman Cempaka, Ampang, untuk meletakkan kenderaannya di kawasan luar bangunan itu.

Tiba-tiba muncul seorang suspek lelaki menaiki sebuah motosikal lalu berhenti di hadapannya dan cuba menyamun mangsa.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, perbuatan suspek itu disedari dua pemuda menaiki sebuah kereta Proton Wira yang kebetulan melintasi kawasan tersebut.

Katanya, mereka kemudian mengundurkan kenderaannya dengan laju untuk melanggar suspek tetapi malangnya terlanggar mangsa.

"Suspek yang melihat kereta itu bergerak laju berjaya mengelak. Dia kemudian melarikan diri dan pemeriksaan mendapati lelaki tersebut tidak dapat melarikan barangan milik mangsa.

"Mangsa yang cedera parah akibat rempuhan itu dibawa kedua-dua pemuda terbabit yang berusia 20-an ke Hospital Gleaneagles tetapi disahkan meninggal dunia. Jenazah kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Amiruddin, hasil bedah siasat dijalankan mendapati kematian mangsa adalah akibat impak yang kuat daripada kemalangan itu dan tiada sebarang kesan penggunaan senjata tajam.

Beliau berkata, pihaknya telah merakam percakapan saksi dan kedua-dua pemuda itu dibebaskan selepas sesi soal siasat selesai.

Katanya, pihaknya sedang memburu suspek terlibat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, pasukan Unit Forensik yang turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian berjaya menemukan dompet milik suspek.

Sementara itu, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali memberitahu, Shahrinawati yang berasal dari Miri, Sarawak dijangka melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini.

"Shahrinawati yang merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik bekerja di syarikat penerbangan itu sejak 2008 dan sering pulang lewat kerana bekerja mengikut syif," katanya ketika ditemui di HKL. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment