My Add

Friday 30 August 2013

Obama belum buat keputusan

 *PENDUDUK Britain mengadakan tunjuk perasaan membantah cadangan tentera Barat untuk menyerang Syria di tengah London, kelmarin. - REUTERS
WASHINGTON, KHAMIS, 29 Ogos, 2013: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama masih belum membuat keputusan, sama ada akan mengambil tindakan ketenteraan ke atas Syria atau tidak, namun Washington berkata, tindakan itu dijangka akan diteruskan jika usaha mendapatkan mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung konflik di Syria menemui kegagalan.

Obama berkata, Washington telah menyimpulkan bahawa kerajaan Presiden Syria, Bashar al-Assad bertanggungjawab terhadap serangan senjata kimia dekat Damsyik pada minggu lepas.

Washington dijangka mendedahkan kepada umum laporan tentang serangan itu, yang mengorbankan lebih 1,300 rakyat Syria.

Apabila ditanya tentang keputusan sama ada AS akan mengambil tindakan ketenteraan akan melibatkan pelancaran peluru berpandu, Obama berkata: ''Saya masih belum membuat keputusan.''

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa tindakan ketenteraan AS akan dibuat untuk memberi amaran keras supaya Syria tidak lagi mengulangi penggunaan senjata kimia.

Obama mengaku serangan terhad yang dirancang oleh White House tidak akan menghentikan pembunuhan orang awam di Syria tetapi penglibatan negara ini dalam perang saudara di negara itu yang menyaksikan lebih 100,000 orang maut tidak akan membantu keadaan.

Pemimpin AS itu yang mahu legasi diingati sebagai menamatkan perang dan tidak memulakan perang melibatkan negara-negara asing, menegaskan bahawa adalah penting untuk menghantar mesej jelas bukan sahaja kepada Syria tetapi kepada seluruh dunia.

Terdahulu, Washington secara jelas menyatakan bahawa resolusi Majlis Keselamatan PBB berhubung pemberian asas undang-undang untuk mengambil tindakan ketenteraan cadangan Britain, tidak akan berjaya ekoran penentangan Rusia.

''Kami tidak melihat kejayaan usaha ini ekoran penentangan Rusia terhadap sebarang tindakan bermakna Majlis Keselamatan PBB terhadap Syria,'' kata Timbalan Jurucakap Jabatan Negara AS, Marie Harf. - AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment