My Add

Friday, 30 August 2013

3 beranak dibunuh kejam

Oleh HAKIMI ISMAIL

PUTRAJAYA, KHAMIS, 29 Ogos, 2013: Tiga beranak termasuk seorang bayi perempuan berumur dua tahun ditemui mati dibunuh kejam dengan pelbagai kesan kecederaan termasuk kelaran di leher dalam sebuah rumah di Taman Dengkil Jaya, Dengkil dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa merupakan seorang wanita warga emas berusia 64 tahun yang ditikam di perut, cucu lelakinya berumur 21 tahun, turut ditikam di perut dan ditetak di kepala manakala bayi tersebut dikelar di leher.

Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Imran Abdul Rahman berkata, ketiga-tiga mangsa ditemui di tiga tempat berasingan iaitu di ruang tamu, dapur dan bilik utama di dalam rumah teres tiga bilik itu oleh seorang ahli keluarga mangsa yang berumur tujuh tahun sejurus pulang dari sekolah pukul 2 petang.

"Kanak-kanak itu kemudian menghubungi kakaknya berumur 19 tahun sebelum polis menerima laporan kira-kira pukul 2.30 petang," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Imran, bertindak atas maklumat tersebut, polis telah melakukan pemeriksaan dan menemukan ketiga-tiga mangsa dalam keadaan berlumuran darah di tiga tempat berasingan.

Katanya, polis akan menyiasat kes tersebut daripada pelbagai aspek termasuk dendam mahupun rompakan kerana hasil siasatan awal mendapati tiada kesan pergelutan di rumah mangsa.

"Rumah yang diduduki lapan beranak itu didapati tiada kesan pecah rumah, samun mahupun pergelutan. Polis kini sedang giat mengesan senjata yang digunakan serta motif kejadian," katanya.

Kata beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan Han Yan di talian 03-87724222 bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, seorang jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Mas Ayu, 27, berkata, dia terdengar bunyi bising daripada rumah mangsa pada pukul 11 pagi tetapi tidak melihat kejadian mencurigakan.

"Sekitar rumah mangsa pada ketika itu juga tiada sebarang kenderaan dan saya fikir ia mungkin pergaduhan biasa yang tidak serius," katanya.

Kata Mas Ayu, sepanjang mengenali keluarga mangsa, tiada sebarang masalah yang timbul, malah tiada pergaduhan besar melibatkan mereka. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment