My Add

Friday 30 August 2013

Kerajaan tetap laksanakan PPPM 2013-2025 - Muhyiddin

PUTRAJAYA, KHAMIS, 29 Ogos Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen yang teguh untuk tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang dilihat mahu mengagalkan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, pendirian tersebut perlu kerana sehingga kini tidak ada sebab utama untuk kerajaan tunduk kepada desakan sedemikian.

"Kerajaan tidak akan berkompromi kerana penyediaan PPPM itu mengambil masa selama dua tahun dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan negara," katanya.

Pendirian terbabit dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Dr. Hasan Mad kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Muhyiddin di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan, Datuk Dr. Kamarudin Kachar.

Perjumpaan turut dihadiri oleh 10 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan anjuran MPM yang diadakan kelmarin di Kuala Lumpur.

Pada perjumpaan itu, mereka turut menyerahkan resolusi kongres tersebut kepada Muhyiddin sebagai tanda sokongan penuh kepada pelaksanaan PPPM 2013-2025.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, sokongan penuh kongres kepada pelaksanaan PPPM dibuat kerana menyifatkan pelan itu mewakili secara keseluruhan kehendak dan keperluan masyarakat di negara dalam bidang pendidikan.

Malah, beliau menambah, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) turut mengakui langkah yang diambil oleh kerajaan itu.

"Walaupun yang hadir dalam kongres itu hanya 286 wakil NGO dan menentang dikatakan mewakili 1,000 NGO tetapi keahlian kita bukan hanya melebihi 400,000, bahkan keseluruhan institusi dan kelompok masyarakat yang ada di negara ini.

"Kita pun turut dimaklumkan bahawa selain kepentingan peribadi, ada elemen politik yang menyokong mereka dan sebab itulah, golongan itu berani berbuat demikian," katanya.

PPPM akan dilancarkan pada 6 September ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment