My Add

Friday, 30 August 2013

ADMM setuju perkukuh hubungan pertahanan

 *HISHAMUDDIN Tun Hussein (empat dari kiri) bersama beberapa rakan sejawatan dari negara ASEAN yang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN di Bandar Seri Begawan, Brunei, semalam. - AFP
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 Ogos, 2013: Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang berakhir hari ini bersetuju untuk memperkukuhkan hubungan dan interaksi antara pegawai-pegawai tentera dan pertahanan di semua peringkat termasuk membentuk kerjasama praktikal dalam bidang keselamatan siber dan pengurusan media sosial.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka juga bersetuju untuk mengetengahkan prinsip tidak menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan sebarang pertikaian termasuk berhubung isu Laut China Selatan, sebaliknya perlu dibincangkan melalui bengkel, seminar dan dialog.

“Antara kata sepakat yang dicapai pada mesyuarat tersebut adalah persetujuan untuk membentuk kerjasama serantau dengan bantuan sekretariat ASEAN, menangani isu akauntabiliti terutama bagi ulang tahun ke-10 ADMM, meneroka kerjasama antara keselamatan dan pertahanan di ADMM dan ADMM-PLUS seperti terkandung dalam aspek perkongsian maklumat dan kerjasama di kawasan sempadan antara negara.

“Selain menghadiri mesyuarat ini, saya juga telah mengambil kesempatan untuk mengadakan beberapa perbincangan bilateral dengan beberapa rakan sejawatan dari negara-negara ASEAN Filipina, Singapura, Vietnam dan Laos," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin menghadiri ADMM bersama rakan-rakan sejawatan dari negara-negara ASEAN di Brunei yang berlangsung dua hari bermula semalam.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, antara isu yang dibincangkan dalam sesi tersebut adalah perkongsian idea dan pandangan mengenai isu keselamatan serantau dan antarabangsa termasuk kejadian yang berlaku di Mesir dan Syria.

Katanya, ADMM turut berbincang tentang memperkukuh hubungan ketenteraan dan pertahanan sedia ada antara Malaysia dengan negara-negara terbabit serta perbincangan mengenai kerjasama yang boleh dijalankan pada masa depan terutama berhubung isu yang menyentuh kepentingan bersama antara negara.

“Saya juga berkesempatan mengadakan perbincangan bilateral bersama ahli Plus Countries termasuk Australia dan China yang turut menghadiri ADMM-PLUS ke-2 yang berlangsung hari ini.

“Saya juga sempat menghadiri majlis makan malam ADMM-PLUS kedua pada 28 Ogos lalu yang dihoskan oleh Menteri Tenaga di Pejabat Perdana Menteri Brunei, Pehin Datuk Paduka Awang Yasmin Umar," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melarang penayangan filem patriotik, Tanda Putera di negeri itu, Hishammuddin percaya ia akan membangkitkan kemarahan rakyat khususnya orang Melayu.

Ujar beliau, tindakan DAP itu lebih bermotifkan politik serta cuba menutup sejarah sebenar negara.

‘‘Adakah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Guan Eng serta pemimpin DAP lain menonton filem Tanda Putera sebelum membuat keputusan itu.

‘‘Mengapakah sebelum ini ada filem yang dilihat menghina orang Melayu tidak pula dipertikaikan oleh kerajaan Pulau Pinang,’’ katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment