61,859 calon duduki STPM Penggal 3
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 November, 2013: Seramai 61,859 calon akan menduduki peperiksaan Penggal 3 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini di 773 buah pusat peperiksaan seluruh negara pada 6, 7, 13, dan 18 November ini.
Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Kementerian Pendidikan dalam kenyataan di sini hari ini memberitahu, seramai 54,932 orang calon pula akan menduduki peperiksaan Penggal 1 STPM 2014 pada 19, 20, 21 dan 25 November ini di 775 buah pusat peperiksaan.
Menurut kenyataan itu, daripada keseluruhan calon STPM Penggal 3, seramai 60,474 orang calon adalah dari sekolah kerajaan, sekolah swasta (752), persendirian individu (623) dan sekolah kerajaan negeri (9).
Kesemua calon itu, menurutnya, merupakan calon kohort pertama peperiksaan STPM berdasarkan sistem pentaksiran baharu STPM yang diperkenalkan tahun lalu.
"Sementara itu, Ujian Malaysia University English Test (MUET) sesi November pula akan dijalankan pada 23 November ini di 664 buah pusat ujian membabitkan sebanyak 75,098 calon," demikian menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MPM turut mengingatkan calon sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC) bagi peperiksaan STPM dan Slip Daftar MUET (MUET/D) bagi MUET semasa hadir menduduki peperiksaan.
Menurut kenyataan itu lagi, bagi menghadapi sebarang kemungkinan semasa peperiksaan STPM berlangsung, MPM membuka Bilik Gerakan yang beroperasi dari pukul 7.30 pagi hingga 6 petang dan boleh dihubungi di talian 03-61302666.
Katanya, calon juga diingatkan sentiasa menyemak nama pusat peperiksaan bagi mengelak hadir di pusat peperiksaan yang salah.
"Sekiranya berlaku sebarang bencana alam dan calon sukar sampai ke pusat peperiksaan, mereka dinasihati ke pusat peperiksaan yang berdekatan dan melaporkan diri kepada Ketua Pengawas di pusat peperiksaan berkenaan bagi menduduki peperiksaan pada hari tersebut," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment