Malaysia bakal tuan rumah mesyuarat penaung Universiti Wanita Asia Mac depan
LONDON, JUMAAT, 01 November, 2013: Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada mesyuarat penaung-penaung Universiti Wanita Asia (AUW) seawal Mac depan bagi mengemas kini status, kejayaan serta masalah yang dihadapi oleh universiti itu.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, beliau telah mencadangkan agar Malaysia menjadi tempat pertama bagi mesyuarat itu memandangkan penaung-penaung ini tidak pernah berjumpa.
"Kita seharusnya mengadakan mesyuarat berkenaan dengan universiti tersebut dan semua mereka yang dilantik sebagai penaung, canselor, naib canselor dan yang memegang jawatan mustahak, seharusnya berjumpa sekurang-kurangnya dua kali setahun," katanya dalam satu temu ramah di sini.
Rosmah yang juga seorang daripada penaung universiti tersebut, terdahulu bertemu dengan isteri bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair, Cherie Blair yang merupakan Canselor AUW.
Beliau yang ditawarkan menjadi penaung universiti berkenaan pada 2011, berada di sini bagi mengiringi suaminya Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam lawatan kerja selama lima hari sempena menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) kesembilan.
Rosmah berkata, dalam mesyuarat itu juga akan diadakan forum wanita yang bakal disertai penceramah berkaitan dengan universiti berkenaan bagi membincangkan betapa pentingnya wanita diberi pendidikan dan pembelajaran yang sepatutnya.
Beliau berkata, mesyuarat itu penting supaya wujud koordinasi antara penaung serta pihak tertinggi universiti bagi memastikan perjalanan universiti yang teratur.
Buat masa ini, pihak universiti sedang memikirkan sumber kewangan bagi membina satu kompleks untuk menampung keperluan pelajar-pelajarnya.
AUW yang terletak di Chittagong, Bangladesh, kini mempunyai kira-kira 500 pelajar dari 15 negara iaitu Afghanistan, Bangladesh, Bhutan, Kemboja, China, India, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Nepal, Pakistan, Palestin, Sri Lanka, Syria dan Vietnam.
Universiti itu yang ditubuhkan pada 2008, memberi peluang pendidikan kepada mereka yang tidak berkemampuan.
Menyentuh mengenai WIEF kali ini yang antara lain memberi fokus mengenai pemerkasaan ekonomi wanita, Rosmah berkata itu adalah topik kegemarannya dalam perbincangan dan juga ucapan ketika di luar negara.
"Saya percaya kaum wanita juga seharusnya diberi peluang yang sama dengan kaum lelaki berkenaan dengan pemerkasaan ekonomi, pemerkasaan politik dan pemerkasaan sosial," kata beliau, sambil menambah betapa mustahaknya peranan wanita dalam pembangunan sesebuah negara itu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment