Bagaimana PKS patut menguruskan pembiayaan bagi Pelaburan, Modal?
MINGGU ini, kita akan menyentuh tentang kaedah untuk mengekalkan pertumbuhan PKS secara berterusan. Pada asasnya, usaha mengembang dan menjamin kelangsungan perniagaan memerlukan tumpuan dan perhatian berterusan, perancangan teliti dan kesanggupan untuk mengambil risiko yang telah dinilai dengan terperinci.
Dengan meluangkan masa, usaha, sumber dan pelaburan, keputusan yang dicapai berpotensi untuk membawa manfaat yang besar. PKS sering berpendapat bahawa mereka memerlukan pembiayaan tambahan untuk menyokong pertumbuhan perniagaan secara berterusan.
Oleh yang demikian, mereka perlu mengetahui dan memahami pelbagai jenis pembiayaan yang terdapat di pasaran supaya mereka boleh memilih pakej pembiayaan yang paling sesuai, berasaskan kitaran hayat dan keutamaan perniagaan. Dengan perancangan yang rapi, masalah dan kerumitan dapat dielakkan.
Pembiayaan berjangka merupakan sumber dana paling umum yang boleh didapati dan lazimnya diperoleh untuk jangkamasa pertengahan hingga panjang.
Pembiayaan berjangka merujuk kepada pembiayaan daripada bank untuk jumlah tertentu dengan jadual pembayaran khusus, dan pada amnya berasaskan kadar keuntungan tetap - juga boleh disediakan berasaskan kadar keuntungan tidak tetap (floating financing rate).
Kemudahan-kemudahan pembiayaan tersebut, yang boleh dibentuk dengan menggabungkan kemudahan pembiayaan berjangka dan kemudahan tunai, akan matang pada tempoh yang telah dipersetujui.
PKS akan mendapati kaedah pembiayaan dengan cara ini amat berguna untuk tujuan pelaburan dan modal penambahbaikan.
Pelaburan modal merujuk kepada wang yang dilaburkan dalam perniagaan dengan jangkaan untuk menghasilkan keuntungan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Pelaburan modal termasuk perbelanjaan untuk pembelian aset tetap seperti bangunan, tanah, kilang pengeluaran dan mesin yang dijangka terus produktif untuk beberapa tahun akan datang.
Ia juga berguna bagi PKS yang mempunyai perniagaan bermusim. Contohnya, perniagaan runcit yang mungkin terpaksa membina tahap inventori yang tinggi bagi musim perayaan tertentu untuk memenuhi permintaan mendadak dalam tempoh tersebut.
Pelaburan modal meliputi pilihan pembiayaan yang luas dan termasuk pelabur ekuiti, bank, institusi kewangan, modal usaha niaga dan penyumbang modal (angel investor).
Walaupun pelaburan modal biasanya diperuntukkan bagi aset modal atau aset dengan jangka panjang, sebahagian daripadanya boleh juga digunakan untuk tujuan modal kerja.
Modal penambahbaikan termasuklah kos berkaitan dengan perubahan yang dilakukan bagi memperbaiki aset modal, menambah guna hayat atau menambah nilai kepada aset tersebut.
Modal penambahbaikan termasuklah pembaikan struktur atau pengubahsuaian kepada bangunan, atau mungkin melibatkan langkah meningkatkan produktiviti.
Modal penambahbaikan, yang perlu direkodkan sebagai aset, berbeza daripada kos pembaikan kecil biasa yang ditolak daripada keuntungan, seperti pengubahsuaian premis perniagaan, pemasangan penyaman udara dan sistem pengudaraan, pemasangan sistem penggera dan sebagainya.
Umumnya, untuk mendapat kelayakan pembiayaan berjangka, PKS perlu mengemukakan dokumen-dokumen yang lengkap kepada pembiaya, iaitu bank atau syarikat kredit.
Antara dokumen yang diperlukan oleh pembiaya ialah rekod pembayaran, penyata aliran tunai dan dokumen pendapatan.
Lazimnya, pembiayaan berjangka memerlukan sesuatu cagaran dan melalui proses kelulusan yang agak ketat.
Ini kerana pembiaya memerlukan maklumat tertentu tentang PKS untuk memastikan pembiaya tidak terdedah kepada risiko yang terlalu tinggi.
Bagi kemudahan pembiayaan bersandar atau bercagar, PKS perlu menyediakan aset untuk dijadikan sandaran kepada pembiaya.
Sebaliknya pinjaman tanpa sandaran pula merujuk kepada sebarang bentuk pembiayaan yang tidak memerlukan cagaran seperti kad kredit dan pinjaman peribadi.
Suatu ketika dahulu, pembiayaan berjangka tanpa cagaran untuk tujuan perniagaan adalah sesuatu yang agak mustahil kerana faktor risiko yang tinggi.
Namun pada hari ini, dengan kriteria penilaian yang betul, teliti serta suasana perniagaan yang semakin berkembang, bank lebih bersedia - dan berupaya membantu PKS yang ingin mendapatkan pembiayaan untuk membantu mereka mencapai pertumbuhan perniagaan walaupun mereka tiada harta atau aset untuk dicagarkan.
PKS ialah segmen yang sangat penting kepada beberapa bank, termasuk OCBC Al-Amin, yang mempunyai strategi untuk mengekalkan kedudukan yang baik dalam pasaran PKS dengan menyediakan pelbagai program produk kredit dan penyelesaian khusus untuk memenuhi keperluan pembiayaan PKS. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment