My Add

Saturday, 2 November 2013

Eksesais latih agensi hadapi bencana

KUANTAN, JUMAAT, 01 November, 2013: Seramai 400 peserta termasuk pegawai dan anggota pasukan keselamatan terlibat dalam Eksesais Setia Padu 1/2013 selama empat hari yang berakhir hari ini di kawasan Malaysia China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Gebeng di sini.

Eksesais yang pertama kali diadakan itu menggabungkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 25 agensi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam pelaksanaan bantuan kemanusiaan dan mengatasi bencana.

Antara 'bencana alam' yang diuji dalam operasi menyelamat tersebut ialah taufan, banjir, lemas, letupan di kilang, kebocoran bahan kimia dan kebakaran rumah termasuk penggunaan jentera penyelamat seperti bot dan helikopter.

Menurut Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin, eksesais yang dikawal selia sepenuhnya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu mampu menguji tahap kesiapsiagaan setiap anggota penyelamat yang terlibat.

"Kita dapat lihat sejauh mana tahap kesiapsiagaan setiap pasukan penyelamat dalam operasi menyelamat yang dilakukan dari segi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan aset.

"Malah penglibatan agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam eksesais itu adalah sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan apabila bencana berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Eksesais Setia Padu siri 1/2013 di sini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani dan Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Pertama Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli.

Zulkifeli percaya eksesais yang dijalankan itu dapat melatih pihak terbabit dalam aspek pemerintahan dan kawalan dalam menghadapi bencana alam.

"Perlu diingatkan bahawa tindakan persediaan sebelum bencana, usaha mencari dan menyelamat serta pembinaan semula infrastruktur pasca bencana memerlukan tindakan bersepadu secara efisien dan efektif.

"Setakat ini kita dapat menangani kejadian bencana seperti banjir dan tanah runtuh dengan baik walaupun terdapat beberapa perkara perlu ditambah baik," jelasnya.

Beliau turut mencadangkan agar eksesais tersebut diteruskan pada masa akan datang supaya dapat memantapkan peranan pasukan keselamatan negara. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment