My Add

Saturday, 2 November 2013

James Anthony ditauliah Kapten (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela TUDM

 * RODZALI Daud (kanan) dan James Anthony Tan menunjukkan isyarat bagus selepas ditauliahkan pangkat Kapten (Kehormat) dalam Pasukan Simpanan Sukarela TUDM di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 November, 2013: Warga Malaysia pertama yang membuat penerbangan mengelilingi dunia secara solo, Kapten James Anthony Tan, hari ini ditauliahkan pangkat Kapten (Kehormat) dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, pentauliahan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong itu diberi kerana beliau mengharumkan nama Malaysia sebagai juruterbang termuda dalam misi 1Malaysia Around The World, mencatat rekod Guinness Book of Records, World Record Academy dan Malaysia Book of Records.

"Dengan pentauliahan ini, beliau akan menjadi ikon TUDM dan dilibatkan dengan pelbagai program termasuk Hari Belia TUDM. Tujuannya untuk menarik belia dan remaja menyertai pasukan ini," katanya selepas upacara memakaikan pentauliahan itu di Wisma Pertahanan di sini. Turut hadir ibu bapanya, Tan On Chin dan Olive Beverly Tan.

James, 22, berlepas mengelilingi dunia pada 28 Mac lalu di Subang Skypark menggunakan pesawat Cessna Silver Eagle P 210T sejauh 21,103 batu nautika merentasi 20 negara dengan 30 hentian dan selamat kembali pada 14 Mei.

Sebelum ini, James pernah mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records sebagai juruterbang termuda melakukan penerbangan solo sejauh 13,803 batu nautika dengan pesawat piston tunggal SR22 dari United Kingdom (UK) ke Bangkok, Thailand dan balik semula ke UK pada 2012.

Rodzali berkata, apa yang dikecapi James itu menggambarkan kecemerlangan, ketahanan fizikal, kekuatan mental, fokus dan tabah dalam menempuh cabaran, sekali gus patut dicontohi semua belia dan remaja di negara ini.

Bercakap kepada pemberita, James berkata, beliau tidak menyangka mendapat anugerah berprestij itu dan tidak sabar untuk menyertai program TUDM terutama ceramah motivasi kepada golongan belia. - BERNAMA

"Saya tidak kedekut ilmu, saya lebih suka berkongsi apa yang saya pelajari kerana saya percaya ada banyak peluang yang boleh dieksploitasi oleh belia dalam industri ini (penerbangan)," katanya.

Sebelum ini ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David ditauliahkan pangkat Mejar Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela TUDM sebagai menghargai semangat juangnya sehingga muncul pemain nombor satu dunia. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment