My Add

Saturday, 2 November 2013

Kuala Lumpur, Hanoi komited teroka industri pertahanan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 November, 2013: Malaysia dan Vietnam komited dalam menerokai bidang industri pertahanan selain meningkatkan kerjasama strategik khususnya melibatkan keselamatan maritim.

Komitmen tersebut dinyatakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) ketika bertemu rakan sejawatnya dari Vietnam, Jeneral Phung Quang Thanh sempena lawatan kerjanya ke negara itu.

Menurut Hishammuddin, Malaysia dan Vietnam yang menjalin hubungan diplomatik sejak 1973 juga komited meningkatkan hubungan pertahanan sedia ada dengan mengadakan mesyuarat tahunan peringkat kerja dua hala.

"Kita juga akan meningkatkan pertukaran pegawai dalam latihan dan pendidikan serta mengadakan eksesais bersama.

"Dalam pertemuan ini, turut dibincangkan cadangan mewujudkan hubungan terus antara Markas Wilayah Laut 1 di Kuantan dan Vietnam Southern Command bagi memudahkan kedua-dua negara berhubung jika berlaku sebarang masalah di perairan semasa operasi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin kini berada di Hanoi dalam rangka lawatan sulungnya ke Vietnam sebagai Menteri Pertahanan selepas dilantik pada Mei lalu.

Beliau sebelum ini melakukan lawatan kerja selama tiga hari ke China dengan tujuan memperkukuh hubungan pertahanan dua hala dengan negara tersebut.

Hishammuddin berkata, Malaysia turut melahirkan hasrat supaya kedua-dua negara dapat menjalin kerjasama untuk merealisasikan Kolaborasi Industri Pertahanan ASEAN (ADIC).

Usaha itu, menurut beliau, bagi meningkatkan saling kebergantungan industri pertahanan dalam kalangan negara ASEAN supaya tidak lagi terlalu bergantung kepada sumber dari luar rantau berkenaan.

"Secara amnya, Malaysia dan Vietnam telah menandatangani Perjanjian Kerjasama dalam Kerjasama Pertahanan pada 2008 dan negara itu merupakan salah satu rakan dagang terpenting Malaysia di rantau ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment