TOK Guru Haji Nik Aziz Nik Mat tidak boleh mengelak lagi dan akhirnya terpaksa mengaku ada ahli Pas tidak puas hati dengan konsep baru perjuangan parti itu, dilihat bukan lagi berlandaskan Islam, tetapi untuk membentuk negara berkebajikan.
Alasannya, mungkin ahli parti yang berkenaan tidak faham tentang perubahan hala tuju baru parti dan penjelasan Mursyidul Am Pas itu tidak pula dihurai lanjut sama ada benar ahli parti tidak faham konsep berkenaan atau mungkin mereka tidak setuju atau menolaknya.
Kenyataan lain Nik Aziz ternyata mengelirukan apabila disentuh mengenai dasar Islam Pas tetap tidak berubah dan kebajikan yang dibawa Pas menuju ke syurga, bukan yang boleh ke neraka.
Menteri Besar Kelantan itu secara terbuka pula menyebut komunis pun buat kebajikan, tetapi tidak sampai ke mana-mana.
Menurutnya, apa yang UMNO buat negara kebajikan, bukan negara berkebajikan. UMNO tidak boleh buat 'berkebajikan' kalau tidak melalui Islam.
Bagaimanapun Nik Aziz tetap berjanji. Pas tidak akan menggugurkan nama Islam pada parti tersebut kerana ia sudah menjadi identiti Pas semakin mengukuhkan kedudukan orang Melayu di negara ini.
No comments:
Post a Comment