Dr. Wahid dilantik sebagai Naib Canselor baharu UTM
PUTRAJAYA, KHAMIS, 29 Ogos, 2013: Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ir. Dr. Wahid Omar hari ini diumumkan sebagai Naib Canselor universiti itu berkuat kuasa 1 September ini.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Wahid itu untuk tempoh tiga tahun sehingga 31 Ogos 2016.
Pelantikan tersebut bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang sebelum ini dilantik sebagaik Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan.
Kenyataan itu berkata, pelantikan Wahid adalah berdasarkan kepada kriteria yang telah ditetapkan oleh kementerian dengan mengambil kira pengalaman akademik, penyelidikan dan pentadbiran beliau di UTM.
Di samping itu, latar belakang beliau dalam bidang kejuruteraan seiring dengan portfolio UTM sebagai universiti berstatus penyelidikan yang berteraskan bidang kejuruteraan.
"Pelantikan ini diharapkan dapat membawa UTM ke peringkat yang lebih tinggi terutamanya bagi meneruskan pelan pembangunan UTM dari segi penyelidikan dan inovasi serta meningkatkan kualiti tenaga akademik dan mahasiswa.
"Kementerian juga berharap agar UTM dapat terus maju ke arah institusi yang self reliant dari segi aspek kewangan dan penghasilan teknologi baru," kata kenyataan itu hari ini.
Wahid merupakan seorang pakar dalam bidang Kejuruteraan Struktur dan telah dianugerahkan PhD. dalam bidang kejuruteraan struktur oleh University of Birmingham, United Kingdom (UK).
Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Jambatan oleh University of Surrey, UK dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari University of Strathclyde, UK.
Selain itu, Wahid juga pernah memegang jawatan Ketua Jabatan Kursus Ijazah Lanjutan, Fakulti Kejuteraan Awam UTM; Ketua Jabatan Struktur dan Bahan, Fakulti Kejuruteraan Awam UTM dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) Fakulti Kejuruteraan Awam - UTM. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment