Jangan khianati rakan niaga - Mufti Pulau Pinang
PERMATANG PAUH, ISNIN, 26 Ogos, 2013: Peniaga Melayu diingatkan tidak mengkhianati rakan kongsi bagi memastikan kualiti jenama mereka tidak terjejas seterusnya boleh menjatuhkan perniagaan.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad berkata, perbuatan tersebut dilarang dalam agama dan sebagai orang Islam, mereka perlu jujur.
Beliau memberikan contoh terdapat pengedar mencampurkan barang jualan dengan bahan tidak bermutu sehingga menjatuhkan imej jenama sedia ada yang cukup terkenal.
"Saya tidak mahu produk perniagaan bumiputera yang sudah berjaya disabotaj dengan mencampur aduk bahan tidak berkualiti sehingga menjatuhkan perniagaan mereka kerana perbuatan itu berdosa," katanya.
Beliau berucap merasmikan premis perniagaan Agrobazaar K-Shoppe Jeruk Madu Pak Ali di Wakaf Seetee Aisah di sini semalam.
Selain jeruk, pusat jualan berkenaan turut memasarkan produk usahawan kecil bumiputera dari kawasan Seberang Perai Utara.
Yang hadir sama, Pengarah Urusan Pak Ali Food Industries Sdn. Bhd., Alias Ali dan Pengerusi Kumpulan Sasar Pembangunan Usahawan Bumiputera negeri, Muhamad Farid Saad.
Dalam perkembangan berkaitan, Hassan memberitahu, beliau berharap jeruk jenama Pak Ali dapat diperluas ke pasaran antarabangsa khususnya Asia Barat.
Katanya, pelancong dari Asia Barat amat menggemari jeruk jenama Pak Ali kerana rasanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment