Lakukan kajian dalaman UMNO secara jujur
KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 Ogos, 2013: UMNO perlu segera membuat kajian terperinci secara profesional, jujur dan ikhlas meskipun pahit terhadap perubahan sokongan orang Melayu kepada parti itu dan penolakan kaum lain kepada Barisan Nasional (BN).
Bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad berkata, kajian tersebut harus merangkumi segala aktiviti parti dan pemimpin yang mungkin secara tidak sengaja menyinggung perasaan rakyat.
"Atau mungkin cara layanan yang terlalu lembut terhadap rakyat menyebabkan orang Melayu berani lari dan tidak mahu menyokong UMNO serta BN kerana merasakan mereka kuat dan tidak perlu bimbingan lagi? Inilah yang mesti dikaji dan dianalisis.
"Jika UMNO masih tidak mengambil berat terhadap kepentingan kajian itu, dibimbangi perjuangan UMNO tidak lagi berlandaskan untuk orang Melayu dan bila ini terjadi, maka orang Melayu akan menghadapi kecelakaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hussein berkata, menjelang pemilihan UMNO hujung tahun ini, amat digalakkan mereka yang benar-benar jujur perlu menjadi calon dan bagi yang mempunyai hasrat untuk kesenangan diri adalah lebih baik melupakan hasrat demi bangsa Melayu negara ini.
Menurutnya, pemimpin-pemimpin UMNO pada masa ini perlu melihat penat lelah Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah melakukan persefahaman antara kaum jauh lebih baik daripada lima Presiden terdahulu.
"Namun, apa yang beliau dapat? Adakah pemimpin-pemimpin di bawah Presiden ikhlas dalam perjuangan untuk UMNO? Ikhlas bantu Presiden? Jika ikhlas mengapa orang Melayu jadi begini?
"Untuk orang Cina dan India tidak hairan jika mereka tidak mahu beri sokongan kepada UMNO dan BN. Tetapi untuk orang Melayu, apa telah terjadi sehingga segala sumbangan Najib tidak diterjemahkan dalam pilihan raya lalu?" katanya.
Beliau berkata, pemimpin UMNO tidak boleh terlalu berpuas hati dengan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13, sebaliknya jadikan sebagai isyarat untuk UMNO bermuhasabah supaya terus menjadi wadah perjuangan orang Melayu.
Beliau yakin UMNO akan menemui kejayaan seperti era dahulu iaitu menyemarakkan semangat perjuangan di dalam hati pemimpinnya tetapi harus dimulakan dengan kejujuran. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment