My Add

Monday, 26 August 2013

Nahas bas: HKL kenal pasti mayat warga Nigeria

KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 Ogos, 2013: Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan mayat wanita yang sebelum ini tidak dapat dikenal pasti selepas terlibat dalam nahas bas di Genting Highlands Rabu lepas, adalah warga negara Nigeria.

Seorang Jurucakap HKL ketika dihubungi Bernama berkata mangsa dikenali sebagai Eitoya Magdalin, umur tidak dapat dipastikan, dan merupakan seorang penuntut.

"Semalam, beberapa rakannya datang ke Jabatan Forensik di sini dan selepas membuat pengecaman, mengesahkan wanita itu rakan mereka.

"Pada ketika ini usaha sedang dilakukan dengan pihak kedutaan dan pihak polis bagi memaklumkan keluarganya dan seterusnya untuk proses tuntutan mayat," katanya.

Ini menjadikan kesemua 37 mayat yang dihantar ke hospital itu telah dikenal pasti dan tujuh daripadanya masih belum dituntut sehingga pagi ini, katanya.

Jurucakap itu berkata lima lagi mangsa yang menerima rawatan di hospital itu berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu seorang mangsa yang cedera dan dirawat di Hospital Selayang, Nur Fathih Jaafar, 21, dibenarkan keluar hari ini selepas keadaannya semakin pulih.

"Kita masih lakukan pemerhatian terhadap tiga lagi pesakit, Nurul Quraitul Aini, 19, warga Indonesia, Nurfridil Gusman, 23, dan Andri Purwadi, 25," kata Dr Pengarah Hospital Selayang Siti Zaleha Mohd Salleh.

Empat daripada lapan mangsa lagi dipindahkan ke dua hospital lain atas permintaan mereka.

Nahas bas yang terhumban ke dalam gaung sedalam 60 meter di Km3.5 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada Rabu lepas meragut 37 nyawa termasuk pemandu manakala 16 lagi cedera. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment