My Add

Tuesday, 27 August 2013

Op Cantas: JSJN catat 1,911 tangkapan

 Noor Rashid Ibrahim
KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 Ogos, 2013: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mencatatkan kejayaan beberapa tangkapan dan rampasan dalam Op Cantas Khas yang dilancarkan jabatan itu di seluruh negara bermula pada Jumaat lalu.

Pengarahnya, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, sepanjang dua hari operasi itu dilakukan sebanyak 1,911 tangkapan dibuat termasuk 30 tangkapan melibatkan ahli kongsi gelap yang bergiat aktif di Pulau Pinang, Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Kedah.

"Menerusi tangkapan itu, sebanyak 1,772 kes telah dibuka kertas siasatan, malah kami turut berpuas hati apabila beberapa ahli Geng 04, Geng 08, Geng 555, Geng Raj dan Geng 18 berjaya ditangkap kerana terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

"Sepanjang dua hari operasi, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai puluhan ribu ringgit melalui serbuan serta sekatan jalan raya yang dijalankan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Menurut beliau, kesemua tangkapan membabitkan suspek berusia antara 25 hingga awal 30-an.

Noor Rashid berkata, pasukan khas di bawah JSJN akan terus melakukan beberapa lagi serbuan dan tangkapan dengan memberi fokus kepada sasaran yang telah dikenal pasti khususnya melibatkan kumpulan kongsi gelap yang kini dilihat semakin berani bergiat aktif melakukan jenayah.

"Sejak Januari hingga Julai, polis merampas dadah pelbagai jenis yang bernilai RM185.71 juta di mana dadah jenis heroin dan syabu mencatatkan nilai rampasan tertinggi sekali gus melumpuhkan 12 sindiket pengedaran dadah terbesar di dalam negara.

"Pihak kami turut menyita RM56.69 juta aset dan harta yang dimiliki daripada aktiviti pengedaran dadah yang dijalankan oleh beberapa kumpulan yang bergiat aktif dalam kegiatan tersebut," katanya.

Beliau menjelaskan, kebanyakan sindiket pengedaran dadah di negara ini turut dikaitkan dengan pemilikan senjata api secara haram.

JSJN tambah Noor Rashid, turut merampas sebanyak 18 pucuk pistol, 734 butir peluru hidup, selaras pump gun dan sebutir bom tangan dalam serbuan dan sekatan jalan raya di seluruh negara sejak awal tahun ini.

Sepanjang tempoh itu juga kata beliau, polis turut membongkar 22 makmal memproses dadah yang beroperasi secara aktif di Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Johor. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment