My Add

Saturday, 28 September 2013

ADUN, bekas wakil rakyat bersaing Ketua UMNO Bahagian Selayang


Abdul Shukor, Soohaimi
SHAH ALAM, KHAMIS, 26 September, 2013: UMNO Bahagian Selayang menyaksikan pertandingan dua penjuru di antara penyandang dan bekas wakil rakyat pada pemilihan peringkat bahagian parti itu pada 19 Oktober ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus akan dicabar bekas ADUN kawasan itu, Soohaimi Abdul Rahman bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Selayang.

Sebagai penyandang, Abdul Shukor yang telah mengesahkan pencalonan tersebut menyifatkan pertandingan itu satu amalan biasa yang diamalkan oleh UMNO sejak dahulu lagi.

“Saya anggap perkara ini (pencalonan beliau dan Soohaimi) adalah pertandingan di antara adik-beradik dalam keluarga UMNO.

“Bagi saya, pucuk pangkal daripada pemilihan bahagian ini kelak adalah tumpuan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti seterusnya merampas semula negeri Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pemilihan UMNO Bahagian Selayang pada 2008 menyaksikan Abdul Shukor memenangi jawatan Ketua Bahagian setelah menewaskan penyandangnya, Datuk Ahmad Bhari Abd. Rahman.

Bagaimanapun, pada pemilihan yang sama, Soohaimi yang menyandang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang ketika itu, gagal mempertahankan jawatannya setelah tewas kepada Datuk Subahan Kamal yang merupakan Ketua Biro Pengaduan Awam, Pergerakan Pemuda UMNO pada masa itu.

Dalam pada itu, Abdul Shukor mengharapkan para perwakilan bahagian menggunakan peluang mereka untuk menentukan kepimpinan parti dengan sebaik-baiknya pada pemilihan kali ini.

“Saya harap perwakilan dapat membuat pilihan yang bijak pada pemilihan bahagian nanti yang bukan hanya berasaskan kepada penyatuan ahli tetapi juga mengambil kira sokongan rakyat terhadap kepimpinan parti," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment