Ancaman wabak: Pasukan perubatan TH siap sedia
MAKKAH, JUMAAT, 27 September, 2013: Pasukan Perubatan dan Kesihatan Tabung Haji (TH) yang beroperasi di Makkah dan Madinah bersiap sedia mengatasi ancaman wabak 'Novel coronavirus' atau 'Middle East Respiratory Syndrom Coronavirus' (MERS-CoV).
Timbalan Ketua Rombongan Haji TH (Perubatan), Dr. Mohamad Faid Abdul Rashid berkata, pasukan perubatan itu mempunyai kemudahan rawatan untuk wabak itu.
Katanya, bagaimanapun setakat ini tiada kes wabak itu dilaporkan berlaku dan kebanyakan jemaah haji yang menerima rawatan adalah disebabkan masalah jangkitan paru-paru, saluran pernafasan dan batuk-batuk biasa.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 23 pesakit dimasukkan ke wad di tiga buah pusat perubatan TH iaitu 15 pesakit di Makkah (Syisya dan Aziziah) manakala lapan pesakit lagi di Al Addin di Madinah dan kesemua mereka dilaporkan stabil.
"Sebanyak 44 peratus daripada pesakit yang dirawat itu disebabkan jangkitan paru-paru, saluran pernafasan dan batuk-batuk biasa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dr. Mohamad Faid berkata, sehubungan itu, jemaah haji yang masih berada di tanah air dinasihati menjaga kesihatan dengan baik sebelum sampai di Tanah Suci dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga semasa di sini termasuk memakai topeng muka dan mencuci tangan.
Katanya, setakat ini juga hanya dua jemaah haji dilaporkan meninggal dunia dan kedua-duanya akibat serangan jantung selain terdapat satu kes kecelaruan mental dilaporkan di Madinah tetapi keadaannya dilaporkan stabil.
Beliau berkata, TH mempuntai 248 petugas perubatan termasuk 40 Pegawai Perubatan, empat Pakar Perubatan, 61 Jururawat dan 52 Penolong Pegawai Perubatan.
TH juga mempunyai 19 buah ambulans yang lengkap dengan pelbagai alat bantuan perubatan dan akan membuka pusat rawatan tambahan di Masyair apabila bermula hari wukuf dan tasyrik kelak. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment