Jangan gadaikan maruah bangsa
Oleh AZIAN AZIZ
SHAH ALAM, KHAMIS, 26 September, 2013: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat Malaysia bahawa pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng adalah petualang negara yang telah berjuang dan berazam untuk menjadikan tanah air yang dikasihi ini sebagai sebuah negara komunis.
Sehubungan itu, baginda meminta rakyat Malaysia agar mempelajari dan memahami sejarah negara dengan sebaik-baiknya dan jangan kerana ingin mendapatkan sokongan dan populariti sanggup menggadaikan maruah bangsa dan tanah air sendiri.
"Sejarah telah menunjukkan bahawa semasa perjuangan mempertahankan kedaulatan negara kita ini daripada menjadi negara komunis, kerajaan telah banyak mengeluarkan belanja bagi menghalang tujuan tersebut.
"Nyawa anggota tentera dan polis banyak yang telah terkorban, begitu juga orang awam yang terbunuh dan mengalami kesengsaraan disebabkan perbuatan Chin Peng dan pengganas komunis.
"Beta nasihatkan mereka yang cuba menjadi petualang dan menggadaikan negara ini kepada pihak luar agar segera menginsafi diri dan berhenti melakukan perkara yang durjana itu," titah baginda.
Baginda yang juga Kapten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertitah demikian sempena Lawatan Operasi ke Pangkalan TLDM KD Sri Semporna-Unit Pasukan Khas Laut (Paskal) 2 di Semporna, Sabah hari ini.
Yang turut hadir Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima Angkatan Tentera Bersama (ATB2) Angkatan Tentera Malaysia, Laksamana Pertama Datuk Sulaiman Mohamad dan Pegawai Memerintah KD Sri Semporna, Kepten Ismail Shafai.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut mengucapkan tahniah kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah berganding bahu dalam menjayakan Op Daulat.
Baginda juga berharap semua yang terlibat agar terus bekerjasama dan sentiasa berkomunikasi supaya segala pergerakan dan hala tuju yang bakal dilakukan berjalan lancar serta meraih kejayaan yang berkesan, memberi hasil yang mantap dan cemerlang dalam mempertahankan kedaulatan negara.
"Beta menyeru kepada semua angkatan bersenjata di Malaysia supaya menanamkan kesetiaan dan rasa cinta kepada negara yang kita kasihi ini serta menjalankan tugas yang telah diamanahkan dengan hati yang cekal.
"Berjuanglah mempertahankan negara dan janganlah berundur walau setapak pun sehingga titisan darah yang terakhir.
"Dengan menanam sumpah dan tekad inilah, maka seluruh angkatan bersenjata yang mempertahankan negara ini akan berjuang bersungguh-sungguh dalam apa jua yang dihadapi," titah baginda. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment