My Add

Saturday, 28 September 2013

Bertandinglah dalam semangat kekeluargaan - Johari

Oleh SAFINA RAMLI

ALOR SETAR, JUMAAT, 27 September, 2013: Penyandang Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd. Johari Baharom berharap pertandingan bagi merebut jawatan itu dijalankan dalam semangat kekeluargaan UMNO tanpa menjatuhkan imej sesiapa.

Mohd. Johari, 59 yang telah menjawat jawatan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu selama tiga penggal itu bakal ditentang timbalannya, Datuk Ahmad Zaini Japar,57.

Mohd. Johari berkata, ahli-ahli UMNO telah mengenali beliau dan Ahmad Zaini dengan rapat memandangkan kedua-dua mereka telah lama berkhidmat di dalam parti.

"Saya tidak ada masalah dengan pertandingan ini, sesiapa pun boleh tanding jawatan Ketua UMNO Bahagian kalau dia nak.

"Saya akan tetap pertahankan jawatan ini, cuma saya harap pertandingan ini berjalan dengan baik, kita kempen cara elok, kempen secara fitnah kita tak mahu,"katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Mohd. Johari yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, dia juga tidak berkempen secara agresif kerana mahu perwakilan menilai keupayaannya berdasarkan prestasi kerja yang dijalankan semasa menerajui UMNO bahagian itu.

"Saya tak ada kempen jumpa orang sana-sini sampai lewat malam, sepatutnya kita dekat Kubang Pasu ini tak payah susah-susah kempen.

"Biar perwakilan nilai keupayaan kita berdasarkan rekod kerja kita selama ini, harap perwakilan menilai dengan bijak siapa yang layak menjadi Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu," jelasnya.

Sementara itu Ahmad Zaini berkata, dia mengambil keputusan untuk mencabar Mohd. Johari bagi menyuburkan amalan demokrasi di dalam UMNO.

"Lumrah di dalam parti, sampai masanya mungkin kita akan dapat pemimpin baharu dan begitu juga dengan UMNO Bahagian Kubang Pasu," katanya.

Ahmad Zaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam berkata, jika berjaya menjawat jawatan itu dia akan berusaha untuk mengembalikan semangat orang muda untuk terus berjuang bersama UMNO. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment