KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 September, 2013: Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Gombak Setia, Prof. Datuk Dr. Zainul Fithri Othman bersedia menerima apa sahaja keputusan parti terhadap rayuannya untuk dibenarkan bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan UMNO Oktober ini.
Timbalan Naib Canselor Perhubungan Industri dan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) itu berkata, beliau akan menumpukan usaha kepada pertandingan jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Gombak sekiranya rayuannya ditolak.
"Jika saya dilantik sebagai AJK UMNO Bahagian Gombak, saya akan bertanding semula untuk jawatan MT parti pada pemilihan tiga tahun lagi.
"Namun, saya berharap pucuk pimpinan UMNO memberi pertimbangan sewajarnya terhadap rayuan ini," katanya dalam sidang akhbar sebelum menyerahkan surat rayuannya kepada Ibu Pejabat UMNO di Menara Datuk Onn di sini hari ini.
Semalam Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh mengesahkan dua calon MT bagi penggal 2013 iaitu Zainul Fithri dan Tun Faisal Ismail Aziz tidak layak bertanding jawatan itu.
Jelas Ab. Rauf, faktor tidak pernah menjadi AJK bahagian merupakan perkara asas yang menghilangkan kelayakan mereka. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment