MENURUt Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pegawai penguat kuasanya bersama anggota polis hanya menjalankan pemeriksaan, bukannya serbuan di Dream Centre milik Damansara Utama Methodist Church pada 3 Ogos lepas.
Pengarah JAIS, Marzuki Hussin menjelaskan, pemeriksaan yang dilakukan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 adalah berdasarkan maklumat satu majlis berbuka puasa akan diadakan bersama majlis “Thanksgiving Dinner” di sebuah gereja.
Marzuki dipetik Bernama sebagai berkata, bertindak atas maklumat itu satu operasi pemeriksaan telah dijalankan bersama anggota polis kira-kira pukul 9.45 malam.
Semasa operasi itu, kata Marzuki, JAIS telah berunding dengan penganjur majlis itu di luar dewan dan ini membuktikan tuduhan kononnya JAIS membuat serbuan, kekasaran serta pecah masuk adalah tohmahan liar semata-mata.
Marzuki berkata, bahkan JAIS telah meminta keizinan masuk dan hanya dibenarkan masuk ke dewan berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan setelah majlis selesai pada pukul 11 malam.
Seramai 12 orang Islam didapati hadir pada majlis itu dan JAIS hanya mengambil butiran dan meminta mereka menghadiri sesi bimbingan dan kaunseling di JAIS.
No comments:
Post a Comment