My Add

Wednesday, 10 August 2011

Mufti Selangor pertahan tindakan JAIS

SELURUH umat Islam di negara ini diajak bersatu mempertahankan akidah Islam daripada diganggu gugat oleh musuh agama, sekalipun terpaksa menghadapi apa sahaja rintangan.

Mufti Selangor, Mohd. Tamyes Abd. Wahid berkata, adalah menjadi kewajipan ke atas setiap orang Islam untuk mempertahankan akidah kerana maqasid syariah itu tidak boleh dijual beli dengan apa sekalipun, hatta kepentingan politik.

Sehubungan itu, beliau menyokong penuh tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang bertindak memeriksa gereja Methodist, kerana percaya ia dibuat berdasarkan bukti terdapatnya usaha memurtadkan umat Islam.

Menurut laporan Utusan Maalaysia, pada masa yang sama, beliau juga berdiri teguh di belakang Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Dr. Hasan Mohd. Ali yang bertindak mempertahankan tindakan JAIS itu.

Menurutnya, orang yang mempertahankan kebenaran Islam seperti Hasan wajib disokong oleh seluruh umat Islam, bukannya dicaci dan dikecam hanya kerana kepentingan politik sempit yang bersifat keduniaan.

“Akidah adalah salah satu daripada maqasid syariah yang wajib dipertahankan oleh setiap yang bergelar Islam. Akidah bukan bahan dagangan politik, ia tidak boleh dijual beli.

“Jika ada musuh yang menyerang, kita wajib mempertahankan diri. Begitu juga dalam soal akidah, jika ada musuh agama yang cuba memurtadkan orang Islam, kita wajib bangkit menentang.

“Lihat bagaimana para sahabat sanggup mati syahid, sanggup diseksa dan sanggup dibunuh demi akidah tetapi untuk menjual agama Allah, mereka tidak sesekali berbuat demikian,” katanya.

Mengulas mengenai penemuan bukti berbentuk ‘12 soalan kuiz’ mengenai agama Islam pada majlis ‘berbuka puasa’ yang dianjurkan gereja tersebut, Mohd. Tamyes berkata, tindakan JAIS tepat.

Katanya, JAIS tidak bertindak secara semberono jika tiada maklumat lengkap mengenai aktiviti penyebaran agama Kristian kepada orang Islam tetapi malangnya jelas beliau, ada segelintir pemimpin Islam sendiri mempertikaikan tindakan itu.

No comments:

Post a Comment