My Add

Friday 5 August 2011

Sungguh malang nasib 463 pelajar Yayasan Selangor

SUNGGUH malang nasib nasib mu wahai 463 orang pelajar asrama Yayasan Selangor di Kampung Pandan Kuala Lumpur yang hendak dirobohkan pada 31 Disember ini.


Menurut beberapa pihak kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor merancang untuk merobohkan asrama itu kerana mahu menambah aset kerajaan negeri yang semakin berkurangan.


Apa yang membimbangkan, pelajar-pelajar terbabit, hingga kini mereka belum diberikan jaminan penempatan lain sekiranya asrama yang menampung pelajar luar bandar di Selangor itu dirobohkan.


Akhbar Utusan Malaysia difahamkan, tiada perancangan alternatif atau asrama baru yang akan dibina untuk menempatkan kumpulan pelajar berkenaan.


Wakil Persatuan Alumni Asrama Yayasan Selangor, Badrulzaman Baharuddin berkata, tindakan tergesa-gesa yayasan membuktikan kerajaan Selangor mempunyai agenda tertentu di sebalik tindakan mahu merobohkan asrama berkenaan.


Lebih mengecewakan, katanya, kerajaan negeri serta pihak Yayasan Selangor seolah-olah mengambil sikap lepas tangan dalam hal itu.


"Mereka hanya memaklumkan perkara ini kepada kami bulan lalu. Mereka memberitahu kami bahawa asrama tersebut yang telah melahirkan ramai golongan pelajar berjaya akan dirobohkan pada 31 Disember ini.


"Apabila kami bertanyakan nasib pelajar yang masih menetap di asrama itu, mereka tidak memberi sebarang jaminan penempatan lain. Malah ada juga cadangan supaya pelajar tersebut dihantar pulang dan bersekolah di kampung halaman masing-masing," katanya ketika ditemui di pintu masuk asrama itu.

Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur ditubuhkan pada 1979 bertujuan memberi peluang kepada pelajar dari kawasan kampung di Selangor melanjutkan pelajaran di sekolah terpilih sekitar Lembah Klang.


Asrama tersebut terdiri daripada Asrama Tun Dr. Ismail yang menempatkan pelajar lelaki manakala Asrama Toh Puan Norashikin menempatkan pelajar perempuan.


Kebanyakan mereka dihantar ke Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas dan Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist.


Sementara itu, menurut seorang lagi wakil alumni, Mohammad Khairul Abd. Samad, alasan yang diberikan oleh kerajaan negeri serta pihak yayasan bahawa asrama perlu dirobohkan kerana kawasan persekitaran yang tidak selamat serta mengganggu lalu lintas adalah tidak munasabah.


Seorang lagi wakil, Mohd. Raslan Mahmud berkata, pihaknya telah menghantar surat menerusi e-mel kepada Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim pada Isnin lalu bagi membantah langkah itu tetapi masih tidak mendapat maklum balas.

No comments:

Post a Comment