My Add

Saturday 27 August 2011

Mat Sabu melalut, 'nyanyok' sejarah

SAHABAT saya Ruhanie Hhmad kata dia kagum membaca kenyataan Timbalam Presiden Pas, Mohamad Sabu, yang membela Mat Indera, kononnya wira negara.

Mat Sabu bukan buta sejarah. Sebenarnya dia nyanok sejarah. Dia sengaja membangkitkan sesuatu yang kontraversi untuk menangguk reaksi umum.

Pemimpin nombor dua Pas itu juga sudah kering modal untuk berceramah. Jadi, dia cari helah untuk menarik perhatian rakyat.

Siapa tak kenal Mat Sabu?

Berikut komen Ruhanie Ahmad bertajuk...PAS: Mat Sabu dan Mat Indera

Saya cukup kagum membaca kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang membela Mat Indera --- komunis Melayu --- kononnya sebagai wira negara.

Inilah buktinya beliau seorang yang buta sejarah. Oleh kerana beliau pemimpin nombor dua dalam PAS, inilah juga dalilnya bahawa PAS kini dipimpin oleh salah seorang yang buta sejarah.

Maka, saya silakan Mat Sabu datang ke kampung-kampung pendalaman di Muar dan Batu Pahat untuk menjalankan kajian bagi menyokong kenyataan ini.

Di Muar, saya cadangkan Mat Sabu menjelajah kampung-kampung di kawasan Parlimen Pagoh, Ledang dan Bakri. Di Batu Pahat, jelajahilah kawasan Parlimen Parit Sulong, Air Hitam, Seri Gading dan Batu Pahat.

Lebih spesifik lagi, kalau Mat Sabu ke Parlimen Parit Sulong, jelajahilah kampung-kampung di Dewan Undangan Negeri Seri Medan dan Semerah – Sejagong, Parit Warijo, Air Putih, Parit Sulong, Parit Maimon, Separap, Parit Sidek dan Lubok Darat.

Selaku bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, saya arif dengan kampung-kampung ini. Lebih-lebih lagi, saya dari Kampung Separap bersebelahan dengan Parit Maimon, kampung Panglima Salleh Selindang Merah yang memimpin sekumpulan pahlawan Melayu bagi menumpaskan kezaliman gerila Komunis Bintang Tiga pada tahun 1945.

Di Kampung Air Putih, temuilah Haji Sharif Peto. Pastinya beliau akan menghuraikan bagaimana seluruh penduduk Melayu di kampung itu melarikan diri dan meninggalkan kampung halaman mereka selama berpuluh-puluh tahun akibat serangan gerila PKM.

Lawatilah Kampung Lubok Darat. Di sana ada sebuah surau. Tanya penduduk sekitar, khusus Wak Sumito. Tanya kepada mereka apa jadi di surau berkenaan sewaktu gerila Bintang Tiga bermaharalela pada zaman itu.

Pastinya Wak Ito dan lain-lain warga emas di kawasan itu akan menyatakan bahawa di surau itulah gerombolan PKM berpesat arak dan menyembelih babi di zaman itu.

Datanglah ke Parit Maimon. Temuilah Haji Yusof Mohd Salleh --- anak Panglima Salleh. Beliau boleh temukan Mat Sabu dengan beberapa warga emas yang pernah menjadi Pahlawan Parang Panjang bersama-sama ayahandanya.

Temuilah orang tua-tua di Parit Sidek. Mat Sabu pasti akan mendengar kisah bagaimana gerila PKM merebus orang Melayu dalam kawah besar yang berisi minyak kelapa panas menggelegak.

Kalau sudi singgah ke Separap --- kampung saya sendiri --- temuilah Haji Samad Yunos. Pastinya beliau boleh tunjukkan kepada Mat Sabu kawasan serumpun buluh yang rimbun yang menjadi pusara kepada sekeluarga Melayu yang ditanam hidup-hidup oleh gerila PKM. Inilah tugu peringatan mangsa gerila PKM di kampung saya.

Haji Samad juga boleh bawa Mat Sabu melawat tapak bekas Rumah Pasong (balai polis) Kampung Separap di pinggir Sungai Simpang Kiri di mana Mat Indera pernah di lokap di balai itu buat beberapa hari supaya orang kampung melihat sendiri wajah komunis Melayu.

Kalau sudi lagi, jumpai ibu saya, Hajah Rukiah Haji Suleiman, 87 tahun, Tanya beliau tentang kisah keganasan gerila PKM. Pastinya ibu saya akan ceritakan bagaimana satu keluarga --- adik kepada ayahanda beliau – mati dibedil gerila PKM di depan mata keluarganya. Ibu saya juga pasti akan bercerita kisah berpuluh-puluh rumah di bakar sampaikan penduduknya jadi sehelai sepinggang.

Jika Mat Sabu masih belum yakin lagi, kunjungilah Perpustakaan Awam di Bandar Penggaram, Batu Pahat. Di sama tersimpan dokumen dan data mengenai keganasan gerila PKM di daerah tersebut.

Jika beliau masih tidak puas hati, telefon saya, kerana dalam simpanan saya ada satu tesis sejarah mengenai kepengganasan gerila PKM di Batu Bahat tulisan seorang rakan sekolah saya di Muar --- anak Bukit Pasir Batu Pahat --- bernama Salmah Brix. Atau pun hubungi Hajah Zaharah Nawawi --- seorang penulis --- yang pernah menjalankan kajian untuk bukunya mengenai Panglima Salleh.

Saya mencabar Mat Sabu melakukan kajian ini kerana saya mahu buktikan kepadanya bahawa beliau adalah buta sejarah dalam konteks kenyataannya mengenai Mat Indera, sekali gus buta sejarah mengenai siapa yang perlu dikategorikan sebagai pejuang bangsa atau pengkhianat bangsa di Malaysia.

No comments:

Post a Comment