SAYA tertarik membaca komen Dr. Mahathir Mohamad mengenai Pakatan pembangkang, PKR, DAP dan Pas yang dilihatnya semakin tidak menghormati institusi diraja sebagai payung perlembagaan negara.
Bekas Perdana Menteri memberitahu Utusan Malaysia, tindak-tanduk pakatan pembangkang jelas membelakangi entiti tersebut.
Menurutnya, ini terbukti apabila kerajaan PKR Selangor berbohong dengan mendakwa Sultan Selangor berkenan meluluskan penubuhan sebuah majlis syura berikutan isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja awal bulan ini.
“Saya fikir kita patut mencari kebenaran isu ini, tetapi saya percaya Sultan Selangor kalau baginda kata baginda tidak bagi (luluskan penubuhan), itu yang patut kita percaya dan tentang orang politik ini, dia politiklah.
“Saya dapati parti pembangkang tidak menghormati institusi beraja, mereka lihat raja sebagai penghalang juga,” katanya lagi.
Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim mengakui Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan meluluskan penubuhan Majlis Penasihat Syura bagi menyelesaikan isu pemeriksaan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) yang dipercayai menyebarkan agama Kristian kepada penganut Islam.
Bagaimanapun, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengeluarkan kenyataan akhbar membetulkan keadaan bahawa baginda tidak pernah menitahkan atau menasihatkan penubuhan majlis sebegitu kepada kerajaan negeri.
Selain insiden terbaru itu, pembangkang sebelum ini turut menyokong kenyataan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan membenarkan badan haram itu menganjurkan demonstrasi jalanan di ibu negara pada 9 Julai lalu.
Mengulas perkara itu, Dr. Mahathir memberitahu, pihak pembangkang jelas gemar memanipulasi pertemuan mereka dengan sultan dan raja-raja Melayu yang menjadi simbol perpaduan negara.
“Mereka kalau boleh hendak gunakan raja untuk kepentingan mereka dan ini nampak jelas sekali,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment