My Add

Friday, 27 September 2013

Tipu: Pengarah syarikat dipenjara, sebat, denda

PETALING JAYA, KHAMIS, 26 September, 2013: Seorang pengarah sebuah syarikat logistik meraung sekuat hati apabila dihukum penjara satu tahun, sebatan tiga kali dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menipu seorang pengurus syarikat, dua tahun lalu.

Sambil menangis, T. Sangkar, 28, memohon Hakim Abu Bakar Manat meringankan hukumannya kerana dia tidak mahu memasuki penjara tetapi tidak dilayan oleh hakim itu yang terus beredar ke kamar beliau.

Terdahulu, lelaki itu mengaku bersalah atas tuduhan itu meskipun setelah berulang kali Abu Bakar bertanya sama ada dia benar-benar ingin membuat pengakuan sedemikian.

''Saya memuji tindakan kamu. Melalui pengakuan bersalah ini, saya dapat melihat kamu benar-benar insaf,'' kata Abu Bakar sebelum menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa memperdaya pengurus syarikat Sunway Machinery Sdn. Bhd., Ho Wai Kiat, 41, untuk mempercayai harga tawaran RM1,900 bagi setiap tan besi.

Dengan itu, Wai Kiat menyerahkan 345.33 tan besi kepada syarikat tertuduh Beyond Avenue Trading sehingga menyebabkan mangsa kerugian hampir RM700,000.

Kesalahan itu dilakukan di syarikat mangsa di Lot 656 Jalan Subang 2, Off Jalan Persiaran Subang, di sini, 30 Mei 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment