Wanita parah ditikam anak saudara kurang siuman
SAJIDA ASARULAH KHAN
JEMPOL, KHAMIS, 27 September, 2013: Seorang pemuda berusia 27 tahun yang dipercayai kurang siuman ditahan selepas bertindak menikam ibu saudaranya di belakang badan di pekan Bahau dekat sini pagi ini.
Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu berlaku semasa mangsa yang berusia 44 tahun berada seorang diri di rumah, manakala suami mangsa keluar untuk menghantar anak mereka ke sekolah.
Bagaimanapun sebaik sahaja pulang, suami mangsa berusia 55 tahun terkejut melihat isterinya terduduk berlumuran darah sambil menahan kesakitan.
Menurut bapa suspek yang enggan dikenali, suami mangsa yang juga abang iparnya lalu bergegas ke rumahnya terletak berdekatan dan memaklumkan kejadian berkenaan.
"Kami kemudian segera membawa mangsa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, untuk rawatan.
"Selepas itu, saya pulang ke rumah dan mencari anak saya namun dia tidak ditemui. Saya bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini dan membuat laporan di Balai Polis Bahau kira-kira pukul 8.40 pagi," kata bapa kepada lima anak itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Supritendan Tukiman Seriman berkata, suspek telah ditahan pukul 4.15 petang tadi di rumah keluarganya di Felda Raja Alias 2, dekat sini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment