My Add

Friday, 27 September 2013

AJK baharu diumum

 Reezal Merican, MAS Ermieyati, KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 26 September, 2013- Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan senarai lengkap ahli-ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat, Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dipilih selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilih bersidang, Selasa lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilih berkata, pemilihan ahli-ahli jawatankuasa berkenaan dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 77, 78, 79 dan 80.

Menurutnya, hasil daripada mesyuarat tersebut, Jawatankuasa Pemilih membuat ketetapan melantik Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menggantikan bekas Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Seri Azmi Khalid manakala Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw dilantik sebagai Naib Pengerusi jawatankuasa itu.

Ahli-ahli jawatankuasa berkenaan terdiri daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Ahli Parlimen Kepala Batas); Datuk Chua Tee Yong (Labis); Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir (Kulim Bandar Baharu); Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Liang Teck Meng (Simpang Renggam); Datuk Madius Tangau (Tuaran); Hasbi Habibollah (Limbang) dan Datuk Wee Jeck Seng (Tanjung Piai).

Ahli lain, Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang); William Leong Jee Ken (PKR-Selayang); Datuk Kamarudin Jaffar (Pas-Tumpat) dan Tony Pua Kiam Kee (DAP-Petaling Jaya Utara).

Sementara itu, Pandikar Amin pula dilantik mempengerusikan tiga jawatankuasa lain iaitu Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat, Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Bagi Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat, ahli-ahlinya adalah Datuk Ismail Mohamed Said (Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau); Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Ahli Parlimen Padang Rengas yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan); Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong (Ayer Hitam); Datuk M. Saravanan (Tapah); M. Kulasegaran (Ipoh Barat) dan N. Surendran (Padang Serai).

Turut tersenarai dalam ahli bagi Jawatankuasa Dewan adalah Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (Ahli Parlimen Mersing); Datuk Seri Tiong King Sing (Bintulu); Datuk Dr. Makin @ Marcus Mojigoh (Putatan); Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar); Loke Siew Fook (Seremban) dan Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena).

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dianggotai Datuk Ronald Kiandee (Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Beluran); Datuk Seri Shahidan Kassim (Ahli Parlimen Arau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri); Datuk Koh Nai Kwong (Alor Gajah); Datuk Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong); Gobind Singh Deo (Puchong) dan Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd. Akin (Bukit Katil).

“Pada 18 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan satu usul yang dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Shahidan) dan disokong Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bahawa mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 76, dewan ini melantik sebuah Jawatankuasa Pemilih bagi tempoh Parlimen yang ke-13 yang mengandungi seorang pengerusi dan enam orang ahli jawatankuasa.

“Lanjutan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Pemilih telah diadakan Selasa lalu yang bertujuan memilih ahli-ahli bagi empat jawatankuasa itu dan membuat ketetapan melantik ahli jawatankuasanya," katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, hari ini.

Terdahulu, dalam sidang akhbar sama, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, pagi ini.

Kepada soalan berhubung permintaan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali supaya Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2013) turut dibincangkan dengan pembangkang sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat, beliau berkata, perkara itu seharusnya dibincangkan dengan menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen iaitu Shahidan.

“Itu bukan tugas saya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, kalau pembentangan rang undang-undang, tugas kami hanya menyusun atur perkara itu. Kalau ada apa-apa, bincang dengan beliau (Shahidan)," tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment