Anwar, Karpal mesti beri penjelasan
KUALA LUMPUR, RABU, 25 September, 2013: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Karpal Singh perlu memberi penjelasan secara khusus kepada kira-kira 6,000 pengundi di kawasan Parlimen Permatang Pauh berhubung dakwaan pemilikan beberapa akaun bank membabitkan wang kira-kira RM50 juta.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Anwar dan Karpal merupakan pemimpin yang sepatutnya mempunyai tanggungjawab awam.
"Rakyat sudah jelak dengan taktik saman untuk menutup mulut yang diamalkan pemimpin pakatan pembangkang.
"Saya bersetuju dengan cadangan bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Dr. Mazlan Ismail supaya Anwar dan Karpal turut memberi notis saman kepada 6,000 pengundi di kawasan Parlimen tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada Ogos lalu, Mazlan mendedahkan kemunculan surat misteri yang mengandungi 'urus niaga' oleh Anwar dengan Karpal sehingga menimbulkan tanda tanya penduduk di Permatang Pauh.
Sementara itu, Mohd. Puad menyokong pendirian Mazlan yang tidak akan meminta maaf kepada Anwar dan Karpal berhubung pendedahan tersebut.
"Mazlan hanya meminta penjelasan dan bukan membuat tuduhan. Jadi, mengapa hendak saman?" katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment