My Add

Sunday, 1 September 2013

Protes dicemari insiden berdarah

 SEBAHAGIAN kumpulan yang menentang rampasan kuasa berarak sambil menunjukkan tanda empat sebagai simbolik membantah kekejaman di Masjid Rabiatul Adawiyah selepas menunaikan solat Jumaat di Makram Abid, Nasr City, Kaherah, semalam.
KAHERAH, SABTU, 31 Ogos, 2013: Perhimpunan jalanan penyokong bekas Presiden, Mohammed Mursi semalam yang dilaporkan mengorbankan tujuh nyawa menimbulkan keresahan baharu dalam kalangan rakyat Mesir tentang masa depan konflik politik di negara Arab itu.

Tidak seperti mana minggu lalu, perhimpunan semalam yang digelar kebangkitan rakyat menuntut revolusi dicemari dengan insiden berdarah di empat lokasi.

Menurut portal berita Ahram, kejadian itu berlaku di Mohandiseen, Port Said, Ismailia dan Zagazig akibat pertempuran antara peserta dengan pihak keselamatan dan kumpulan penduduk tempatan.

Namun secara umumnya, perhimpunan pro-Mursi yang berlangsung selepas solat Jumaat itu berjaya diadakan dalam keadaan aman di kebanyakan lokasi termasuk di dua daerah di Kaherah iaitu di Nasr City dan Maadi.

Bagaimanapun, pemerhati tempatan melihat jumlah kehadiran peserta pada perhimpunan berkenaan dan minggu lalu tidak mencapai angka yang dapat menggugat pemerintah sementara yang disokong tentera.

Daripada tinjauan Mingguan Malaysia di Nasr City di sini semalam, ribuan penyokong Mursi membanjiri jalan-jalan utama di kawasan tersebut yang terletak di pinggir bandar raya Kaherah sebaik sahaja solat Jumaat dengan perarakan bermula di Masjid As-Salam dan berlarutan sehingga beberapa kilometer.

Selain membawa poster simbol jari empat atau Rabaah, sebahagian peserta juga membawa bendera tertera perkataan 'bangun', mengajak rakyat bersama mereka menuntut Mursi dibebaskan.

Dilaporkan perhimpunan yang sama turut berlaku di beberapa lokasi lain di seluruh wilayah Mesir termasuk di Mansurah, Iskandariah dan Menuofia.

Menjelang perhimpunan semalam, dilaporkan seorang pemimpin kanan sayap politik Ikhwanul Muslimin, Mohamed El-Beltagi ditahan.

Sejak penyingkiran Mursi awal bulan lalu, jumlah pemimpin pergerakan itu yang ditahan kini dianggarkan melebihi 2,000 orang.

Sementara itu, seorang penduduk, Hussain Fawzi yang ditemui berkata, kawalan ketat pihak keselamatan dan perintah darurat ketika ini jelas tidak mematahkan semangat penyokong Mursi untuk menuntut keadilan kepada bekas Presiden yang disingkirkan itu.

Katanya, namun perkembangan semalam yang menyaksikan terdapat pertumpahan darah di beberapa lokasi bukan sesuatu yang diingini rakyat.

"Kita mahukan konflik politik Mesir berakhir. Insiden seperti ini tidak membawa apa manfaat kepada negara yang masih bergelut dengan masalah ekonomi," katanya.

Sementara itu, Hesham Ahmed berharap pihak-pihak terlibat dapat mengakhiri segera konflik politik yang seakan tidak berkesudahan ini.

"Kita tidak mahu keadaan berlarutan. Sukar untuk kami jalani kehidupan seharian.

"Saya harap apa pun perbezaan, jangan sampai melibatkan pertumpahan darah," ujarnya. -UTUSAN

No comments:

Post a Comment