My Add

Thursday, 26 September 2013

UMNO sudah lakukan transformasi

 *HISAHMUDDIN Tun Hussein (dua dari kanan), Idris Haron (tengah) dan Mohd. Ali Rustam (dua dari kiri) berpegangan tangan dalam Majlis Perjumpaan Bersama UMNO Melaka dan Hari Ketua Pengarah JPJ Bersama Pelanggan di Ayer Keroh, Melaka, semalam. - utusan/azli ahad
MELAKA, RABU, 25 September, 2013: UMNO sudah melakukan transformasi amat besar dengan memberikan kuasa memilih pemimpin kepada 146,500 ahli di peringkat akar umbi, namun masih ada yang 'tidak melihat' atau memilih untuk 'memejamkan mata', demikian menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin berkata, transformasi yang dilakukan parti keramat orang Melayu itu bertujuan untuk memperkasa anggota di peringkat akar umbi, justeru mereka perlu bijak menggunakan kuasa yang diberikan itu.

Katanya, keputusan melaksanakan transformasi sejak tiga tahun lepas itu, bukan sesuatu yang mudah kerana berdepan ketidaktentuan antaranya perpecahan di kalangan ahli parti, namun ia tetap dilaksanakan.

"Kita beri keupayaan pada semua ahli apakah itu tidak transformasi, adakah itu tidak perubahan, adakah itu tidak pengupayaan dan pemerkasaan, sememangnya UMNO telah melalui transformasi, tetapi kadangkala orang tidak nampak atau perasan semua ini di hadapan batang hidung mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama UMNO Melaka dan Hari Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bersama Pelanggan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron; bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad.

Sebelum pindaan Perlembagaan UMNO pada 2009, seseorang yang mahu bertanding jawatan tertinggi parti perlu terlebih dahulu mendapat jumlah atau kuota sokongan tertentu daripada 191 Bahagian UMNO.

Pada Oktober, ahli UMNO di peringkat bahagian akan memilih pemimpin yang layak memegang jawatan di peringkat bahagian hinggalah ke peringkat Majlis Tertinggi, sayap dan Naib Presiden.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu Hishammuddin berkata, pertandingan di semua peringkat termasuk pertandingan enam penjuru bagi jawatan Naib Presiden yang dipertahankannya tidak sama sekali menggugat perpaduan ahli UMNO seluruh negara.

"Setiap kali ada pemilihan, kita ada pertandingan tetapi UMNO tetap kukuh, kalau nak ikut segi kerusi Parlimen dan negeri, kita jauh lebih kuat daripada dahulu,'' katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment