PRK Sungai Limau: Pas tandus idea guna gambar palsu
YAN, SELASA, 29 Oktober, 2013: Pas sudah ketandusan isu hingga sanggup guna gambar palsu dalam risalah kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) sama sekali tidak akan melakukan perkara seumpama itu dalam siri kempen mana-mana pilihan raya semata-mata mahu meraih undi.
"Ini tandanya pembangkang ketandusan idea untuk tarik pengundi," katanya selepas menyampaikan ceramah dalam siri kempen menjelang PRK DUN Sungai Limau di Pusat Daerah Mengundi Sungai Limau di sini, malam tadi.
Turut hadir calon BN DUN Sungai Limau, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas penyebaran risalah kempen Pas yang memaparkan gambar calonnya untuk PRK itu, Mohd. Azam Abd Samat kononnya bertemu Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, di pejabatnya ketika Azizan menjadi Menteri Besar Kedah.
Menurut Sinar Harian semalam, gambar itu sebenarnya gambar kunjungan mesra dua pemberita kanannya ke atas Allahyarham Azizan pada 25 Mei 2011. Sinar Harian mendakwa gambar itu telah diubah suai menerusi teknik 'photoshop' bagi menampal wajah Mohd. Azam pada wajah seorang daripada pemberita kanannya itu.
Ditanya mengenai konsep 'hijrah' pengundi DUN Sungai Limau, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, jika sebelum ini pengundi di kawasan DUN itu tidak memilih BN kerana mempertahan penyandang, Allahyarham Azizan, namun PRK kali ini merupakan masa untuk berubah.
"Sekarang mereka perlu berani untuk berubah demi perubahan di kawasan ini. Orang muda perlu tampil berhijrah untuk kebaikan," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment