Jangan terpengaruh maklumat bahaya radiasi di Internet
KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Oktober, 2013: Rakyat di negara ini dinasihatkan tidak terpengaruh dengan penyebaran maklumat tentang bahaya radiasi di Internet yang belum terbukti kesahihannya.
Ini kerana menurut Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektronik Universiti Sapienza, Rome, Prof. Michael Repacholi, kebanyakan maklumat di dalam internet itu berbentuk negatif dan disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab yang hanya untuk mengelirukan pengguna.
Selain itu katanya, tahap pengetahuan rakyat Malaysia tentang isu pendedahan radiasi masih di tahap rendah dan dikhuatiri mengakibatkan mereka mudah mempercayai apa sahaja maklumat negatif yang disebarkan melalui internet.
"Kebanyakan kes protes dalam kalangan orang awam di Malaysia melibatkan salah faham tentang peletakan stesen atau menara pemancar telekomunikasi di sesuatu kawasan.
"Rakyat perlu faham tahap pendedahan radiasi di negara ini mengikut standard piawaian dan syor yang dikeluarkan oleh International Commision on Non-Ionising Radiation Protection (ICNIRP) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Persidangan Non-Ionising Radiation 2013 di sini hari ini.
Katanya, pertikaian berhubung isu pendedahan radiasi tidak perlu ditimbulkan kerana standard piawaian itu telah diguna pakai di lebih 60 buah negara di seluruh dunia. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment