My Add

Wednesday, 30 October 2013

Shuhaimi, Ismail terima Anugerah DMDI

 *IDRIS Haron (dua dari kiri) menyampaikan anugerah Tokoh Penggerak Budaya dan Warisan Dunia Melayu Dunia Islam kepada Shuhaimi Baba sambil disaksikan oleh Mohd. Ali Rustam (kiri) di Melaka, kelmarin.
MELAKA, SELASA, 29 Oktober, 2013: Pengarah filem Tanda Putera, Datuk Shuhaimi Baba dan pelukis terkenal negara, Ismail Embong masing-masing menerima Anugerah Tokoh Penggerak Budaya dan Warisan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di sini malam tadi.

Kedua-dua penggiat seni itu merupakan antara 20 individu yang menerima pelbagai anugerah sempena majlis perasmian Konvensyen DMDI ke-14 yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Anugerah itu disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron yang turut dihadiri Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad dan Naib Presiden DMDI, Datuk Dr. Jamil Mukmin.

Shuhaimi ketika ditemui berkata, beliau terharu atas anugerah itu yang merupakan kejayaan pertamanya di luar bidang filem.

"Ini adalah pengiktirafan dalam industri kreatif yang pertama saya terima, selalunya anugerah yang saya terima adalah dalam industri filem.

"Saya rasa bangga menerima anugerah ini dan ini yang pertama saya terima di peringkat antarabangsa dan Nusantara," katanya.

Turut menerima anugerah tersebut ialah Ketua DMDI Kepulauan Riau, Tanjung Pinang, Datuk Dr. Abdul Malik Abdul Mitaarib, Ahli Majlis Adat Budaya Melayu Medan, Zaidan BF dan Ketua Yayasan Tun Seri Lanang Jakarta, Pocut Haslinda Syahrul.

Tiga penerima bagi Anugerah Tun Perak ialah Gabenor Aceh, Dr. Zaini Abdullah, Wakil Gabenor Riau, Drs. Mambang Mit, Wakil Gabenor Sumatera Utara, Tengku Erry Nuradi dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Kemboja, Datuk Oukhna Othsman Hassan

Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Yusoff Hashim pula menjadi penerima tunggal Anugerah Temenggong Tun Hassan.

Sementara itu, sebanyak 12 individu yang menerima Anugerah Hang Tuah antaranya Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Datuk Abu Bakar Abdul, Pengetua Rumah Anak Yatim Tsunami, Haron Md. Saleh dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd. Yusof Abu Bakar.

Enam penerima Anugerah Tun Fatimah pula ialah Pengurus Besar Yayasan DMDI, Mashita Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Putra, Datuk Radhuana Ismail, Direktor Pusat Pendidikan Jamiyah Singapura, Nora Rustham, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Norena Jaafar dan Jawatankuasa Biro Wanita DMDI Sumatera Utara, Rita Susanti. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment