Peningkatan kes dera kanak-kanak membimbangkan
SHAH ALAM, AHAD, 28 Oktober, 2013: Satu amalan perlindungan kanak-kanak yang lebih mantap perlu diwujudkan ekoran kes penderaan kanak-kanak di negara ini didapati membimbangkan dengan peningkatan begitu ketara sejak 2007.
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Norani Mohd. Hashim mendedahkan, sebanyak 3,831 kes penderaan kanak-kanak telah dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun lalu manakala enam bulan pertama tahun ini sahaja mencatatkan sebanyak 1,847 kes.
Peningkatan kes tersebut katanya, berlaku dengan ketara iaitu pada 2007 dilaporkan sebanyak 2,279 kes dan jumlah itu meningkat kepada 2,780 kes pada 2008 dan terus meningkat kepada 2,789 (2009).
"Peningkatan kes penderaan kanak-kanak memerlukan kita mewujudkan satu amalan perindungan kanak-kanak yang lebih mantap dan merangsang pembaharuan dalam amalan sedia ada," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Perintis Perlindungan Kanak-Kanak di sini hari ini.
Yang hadir sama, Perunding Projek, Dr.Pauline Meemeduma, Timbalan Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Dr. Victor Karunan dan Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Arfan Sulaiman.
Norani berkata, bagi menangani masalah tersebut, JKM melaksanakan projek perintis tersebut selama dua tahun bermula April lalu dengan memberikan fokus kepada perkhidmatan langsung membabitkan kanak-kanak yang diainiaya dan perlu diselamatkan.
Beliau memberitahu, projek yang dilakukan dengan kerjasama Persatuan Pekerja Sosial Malaysia (PPSM) dan UNICEF dimulakan di JKM Kuala Langat dan JKM Petaling Jaya sebelum usaha itu diperluaskan ke daerah-daerah lain di negara ini.
"Kita memilih daerah Kuala Langat sebagai mewakili kawasan luar bandar dan Petaling Jaya bagi kawasan bandar dalam aspek perbandingan kes-kes penderaan dan penganiayaan kanak-kanak serta perkhidmatan perlindungan yang boleh diberikan.
"Sistem perlindungan tersebut mengguna pakai elemen yang komprehensif dalam cara pengendalian kes penganiayaan kanak-kanak bagi melihat tahap risiko sesuatu kes dengan pendekatan lebih bersistematik," katanya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment